Thursday, 14 September 2017

Karangan Stress

Karangan 1


            Stres dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas.
               Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan.
            Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepada kesihatan seseorang. Apabila seseorang itu mengalami stres, kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. Sistem penghadaman juga menjadi perlahan dan beberapa bahan kimia dalam tubuh dilepaskan supaya darah lebih mudah bergumpal. Selain itu, kadar pernafasan yang semakin laju menyebabkan otot-otot menjadi tegang. Hal yang demikian menyebabkan kadar perpeluhan yang meningkat. Penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok mudah menyerang seseorang yang mengalami stress.
             Stres juga member ketidakselesaan kepada seseorang. Apabila stress, seseorang itu akan mengalami denyutan jantung yang laju dan tidak tetap. Hal ini demikian kerana otot-ototo menjadi tegang dan mengakibatkan dada berasa tidak selesa. Secara fizikalnya, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan kadang-kadang muntah. Stres juga menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil. Tubuh badan akan berasa letih, lesu dan lemah. Mulut dan tekak akan menjadi kering dan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis, eczema dan jerawat juga timbul.
              Di samping kesan buruk, stress juga memberikan kesan yang baik secara semula jadi. Badan dapat bertindak balas apabila menerima tekanan. Kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak akan bertindak balas terhadap tekanan yang diterima dengan merembeskan hormone adrenocorticotropik (ACTH). Hormon tekanan ini, termasuk kortisol dan adrenalin akan membantu meningkatkan daya tumpuan, mempercepatkan tindakan dan meningkatkan kekuatan serta pergerakkan seseorang. Hal ini demikian membolehkan seseorang itu menganggap stress mampu menjadikannya bertiindak lebih aktif dan membuat pertimbangan yang wajar. Ketiadaan stress akan menjadikan seseorang itu lambat bertindak balas kerana sentiasa berada di zon selesa.
               Kesimpulannya, stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada ketidakupayaan seseorang menangani masalah yang sedang dihadapi. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, akan memudaratkan individu tersebut baik daripada aspek fizikal, mental, emosi mahupun aktiviti sosial mereka.


                                         Stres dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Bincangkan punca dan langkah-langkahnya.
                        Tekanan  kini semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar. Mereka yang mengalami tekanan mental biasanya menunjukkan tanda-tanda seperti bersikap murung, suka menyendiri dan tiada selera makan. Contoh, peristiwa pelajar yang mengalami stres ialah cubaan membunuh diri seperti terjun dari bangunan tinggi dan cubaan mencederakan diri sendiri dengan pisau atau senjata. Tegasnya, punca-punca yang menyebabkan pelajar mengalami stres perlu dikenal pasti dan langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk mengelakkan masalah ini daripada berlarutan.
                        Tekanan dalam pelajaran merupakan satu punca yang menyebabkan masalah stres dalam kalangan pelajar. Sesetengah pelajar yang gagal dalam peperiksaan menghadapi tekanan apabila tidak dapat berdepan dengan ibu bapa mereka dan menunjukkan keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan kepada mereka. Contohnya, pelajar yang mengalami tekanan dalam pelajaran akan menghadapi kemurungan dan berkemungkinan besar akan cuba membunuh diri. Tegasnya, tekanan dalam pelajaran sememangnya menjadi punca utama yang menyebabkan stres dalam kalangan pelajar semakin meningkat.
                        Selain itu, tekanan keluarga turut merupakan punca masalah stres dalam kalangan remaja. Punca kehilangan pekerjaan dan masalah rumah tangga yang tidak pernah berkesudahan menyebabkan sesetengah anggota keluarga berbalahan sesame sendiri dan situasi ini menimbulkan ketegangan dalam kalangan ahli keluarga. Fenomena sedemikian mewujudkan masalah stres dalam kalangan ahli keluarga. Misalnya, ahli keluarga yang bermasalah akan terdorong untuk melakukan perbuatan yang boleh mencederakan fizikal dan mental mereka seperti cubaan untuk terjun dari bangunan tinggi.
                        Punca masalah stres turut disebabkan oleh tekanan hubungan antara rakan. Pelajar yang menghadapi tekanan dalam masalah cinta yang dihalang dan tidak direstui oleh ibu bapa pelajar menyebabkan jiwa mereka memberontak. Keadaan ini menyebabkan mereka bertindak melarikan diri dari rumah bersama dengan rakan sebaya disebabkan mereka tidak sependapat dengan ibu bapa mereka. Contohnya, kes remaja yang terpengaruh dengan pujuk rayu daripada teman mereka bertindak untuk melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Tegasnya, tekanan hubungan antara rakan merupakan punca masalah stres berlaku dalam kalangan pelajar.
                        Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah stres adalah menjalani sesi kaunseling dengan pakar psikologi yang berpengalaman. Pelbagai tips dan kaedah serta rawatan terbaik untuk menghadapi tekanan stres dalam kalangan pelajar perlu didedahkan kepada pelajar yang menghadapi masalah pelajaran dan keluarga. Contohnya, kaedah terbaik adalah dengan menggunakan sistem mentor-mentee bagi setiap pelajar yang menghadapi masalah stres dan ini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka mengurangkan tahap stres dalam kalangan pelajar. Tegasnya, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah stres adalah menjalani sesi kaunseling dengan pakar psikologi.
                        Selain mengadakan sesi kaunseling dengan pakar, pelajar sendiri perlu bersikap positif terhadap diri mereka sendiri. Secara umumnya, terdapat lapan kaedah yang boleh dilakukan untuk memastikan diri kita sentiasa berfikiran positif. Pertama, kita mengenal potensi diri dan berfikiran positif. Kedua, kita membaiki kelemahan diri dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Ketiga, kita mengenal pasti sumber sokongan sosial yang dapat meningkatkan potensi diri. Keempat, kita mendapatkan sumber maklumat yang benar dan sahih dalam membuat keputusan. Kaedah lain ialah pelajar sendiri perlu mengelakkan diri daripada menjadi sumber kontroversi atau gosip, bergaul dengan individu yang berfikiran positif, menguruskan sumber stres dan membuat penghargaan kepada diri sendiri setiap kali melakukan sesuatu yang positif. Selain berfikiran positif, kita perlu memastikan diri kita sentiasa dihargai. Terdapat beberapa tips yang boleh dipraktikkan untuk menghargai diri sendiri. Tips pertama adalah menyayangi badan kita, mengamalkan gaya hidup sihat, mengembangkan bakat dan minat, menjalinkan interaksi dengan orang yang membuat kita gembira, mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga, meningkatkan kekuatan diri dan mensyukuri nikmat Tuhan dan berterima kasih. Tegasnya, remaja perlu menjadi lebih positif dengan diri sendiri dan menjadi lebih mapan dalam usaha membentuk jati diri dengan membina maruah diri.
                        Kesimpulannya, tekanan stres akan menyebabkan seseorang tidak boleh menjalani aktiviti seharian dan hal ini mengurangkan produktiviti mereka. Oleh itu, kaedah mengenal potensi diri dan berfikiran positif merupakan cara yang terbaik untuk mengurangkan tahap stres dalam kalangan pelajar. Kita haruslah ingat bahawa, remaja hari ini merupakan tonggak generasi dan bakal pemimpin negara kita pada masa depan. Oleh itu, pelbagai langkah yang efektif perlu dilakukan oleh semua pihak sehingga ke akar umbinya untuk menangani isu stres ini daripada berlarutan.

 Karangan 2

              Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, selaras dengan pembangunan yang semakin gah di persada dunia, semakin berbagai-bagai punca yang telah mencetuskan tekanan mental. Tekanan mental dapat ditakrifkan sebagai sejenis desakan atau paksaan yang berkaitan dengan akal, pemikiran atau proses intelektual. Tekanan yang terlampau akan menyebabkan penyakit psikologi dan berlakunya jenayah. Cara-cara yang efektif harus digunakan agar tekanan mental dapat ditangani. Oleh itu, pelbagai faktor dan cara mengatasi masalah tekanan mental yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci.


               Faktor pertama yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan tekanan mental ialah masalah personaliti yang sempurna. Keinginan memajukan diri adalah berfaedah kepada orang sekiranya tidak keterlaluan. Keinginan yang keterlaluan pula akan mendatangkan tekanan sehingga menyusahkan dirinya. Seseorang yang terlalu menitikberatkan kesempurnaan tidak akan berasa puas hati dan sentiasa ingin berjaya dalam semua aspek yang terlibat. Golongan ini sering mempunyai hasrat atau cita-cita yang menggunung. Mereka berasa kecewa apabila hasil tidak mengikut standard kesempuraan berdasarkan kaca matanya. Oleh itu, masalah personalitI yang sempurna akan menyebabkan tekanan mental yang berat.

                 Masalah kehidupan dari segi kekeluargaan, pekerjaan atau pelajaran akan mendorong wujudnya tekanan mental. Masalah keluarga dan kemiskinan menyebabkan jiwa manusia sentiasa kecewa dan tertekan. Mereka berasa tekanan kerana sukar mencari nafkah untuk keluarga. Kerja yang berat dan rumit menyebabkan tekanan untuk mengekalkan prestasi di tempat kerja. Tekanan pelajaran pula berlaku kerana berusaha mencapai kecermelangan. Tekanan dalam kalangan pelajar biasanya berpunca daripada ibu bapa yang ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran atau pihak guru yang ingin memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran (P&P) mereka tercapai. Jadi, masalah kehidupan mengakibatkan tekanan mental yang cenderung mendorong penyakit psikologi.


                   Selain itu, pengalaman lampau yang ngeri juga merupakan salah satu faktor kepada tekanan mental. Keadaan ini biasanya wujud pada mangsa tragedi ngeri atau menakutkan. Akibat daripada tragedi tersebut, mangsa sering dihantui perasaan bercampur-campur. Jika mangsa merupakan seseorang yang diam dan tidak suka meluahkan perasaan, maka dia akan mengalami depresi dalam jangka panjang. Mereka akan berasa fobia, takut dan boleh bertindak terburu-buru tanpa keupayaan untuk berfikir dengan nasional. Pengalaman yang terlampau seperti dirogol atau dibuli mungkin menyebabkan seseorang hilang kewarasan kerana terlalu tertekan. Dengan itu, pengalaman yang dashyat mungkin menyambung kepada desakan mental.


                   Namun begitu, masalah tekanan mental boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat. Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup. Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan. Pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Individu boleh bersenam dan berekrasi agar melepaskan tekanan mental. Dari segi penjagaan pemakanan seharian pula, kita perlu mengelakkan makanan berlemak dan berkanji tetapi menambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi, amalan gaya hidup yang sihat adalah berkesan untul mengelakkan masalah tekanan mental yang berat.


                        Langkah mengatasi tekanan mental boleh dilakukan dengan bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi. Perkhidmatan psikoterapi merupakan sejenis rawatan gangguan mental melalui kaedah psikologi. Kaunseling mampu membantu individu yang bermasalah agar mengurangkan konflik hidup mereka. Perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Setelah pendengaran masalah, pihak kaunseling memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya. Kaunseling juga diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.


                           Di samping itu, pendidikan agama atau moral juga mampu mengatasi masalah tekanan mental. Agama dipandang sebagai unsur penting untuk menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia. Ibu bapa harus member pendidikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana “anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya”. Individu yang mempunyai asas nilai-nilai murni mampu menguasai nafsu mereka. Pendidikan moral dan agama boleh mengatasi masalah jiwa kosong dan memberikan kesedaran melawan nafsu yang keterlaluan. Dengan kesedaran tersebut, seseorang akan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pendidikan agama atau moral dapat mengurangkan tekanan mental melalui kawalan keinginan.


                              Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan  memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya.


Karangan 3

        Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.

        Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.

          Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja me0ncari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.

          Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

           Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.

              Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.
                                                         

 Karangan 4

     Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza  tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa  kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan  sehingga tekanan yang dihadapi  itu  membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaraan. Oleh hal yang demikian,sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.

            Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan  tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.

Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya  memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya  sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan  berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran       pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan  tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.

Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan.  Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut.  Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi.  Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah  muzik seperti memiliki kuasa magis  yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.

Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan sembahyang, sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana sembahyang merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, sembahyang memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sembahyang yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri  saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh  seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa sembahyang merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.

Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh berjalan luas pandangan. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.

Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.

Karangan Krisis Makanan

Karangan 1   
    
     MAKANAN adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa duniasekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yangmenjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.
      Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningka tsebanyak !" sejak tahun 75% manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah padatahap terendah sejak 30 tahun. &arga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkankenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacangsoya telah mencatatkan paras tertinggi
      .Kenaikan harga pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yanglain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanantenusu. sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di duniadan tidak lagi terbendung kepada negara(negara tertentu sahaja. Menurut )rogram MakananDunia pertubuhan Bangsa(Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun2008
           pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakanlagi kesan yang berlaku. ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakinsukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebutselari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistemekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripadakenaikan harga minyak dunia.
     secara langsung, kenaikan harga minyak telah memaksa kenaikan kos bagi mengeluar dan memasarkan makanan -kos untuk menjana tenaga bagi menggerakkan kilang, jentera, kos pengangkutan dan sebagainya. peningkatan harga minyak  juga dilihat menjadi penyebabkenaikan kos baja sekali gus melonjakkan harga bahan makanan di pasaran.
     Di samping itu, kegilaan terhadap penghasilan bahan api bio bukan sahaja dikatakan telahmelambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekali gus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan pemakanan. pada tahun 2007 sahaja, suku daripada jumlah tuaian jagung Amerika 'yarikat telah digunakan untuk penghasilan etanol -antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahanapi bio yang mana jumlah ini pastinyamemberikan impak yang besar kerana Amerika 'yarikat menyumbang kepada 1$" pasaran jagung dunia.
           yang jelasnya, masalah krisis makanan global telah semakin mendapat perhatian para pemerhati ekonomi dunia. Antara perkara yang menjadi perhatian adalah peningkatan hargamakanan di pasaran global yang telah pun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telah pun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia.






Karangan 2


              Dalam suku pertama dan kedua tahun 2008, masalah krisis makanan dunia telah mendapat perhatian seluruh negara dunia. Antara perkara yang turut menjadi perhatian dalam kemelut peningkatan harga makanan di pasaran global yang telahpun memberi kesan langsung terhadap harga pasaran bahan makanan tempatan serta masalah kebuluran yang telahpun mula muncul di beberapa wilayah berasingan di dunia adalah juga merupakan faktor penyebabnya. Di Mesir, ribuan rakyat yang marah dengan kenaikan harga barang, telah membuat tunjuk perasaan memprotes situasi tersebut pada suku pertama 2008. Manakala, beberapa hari sebelum itu akhbar telah melaporkan bahawa para petani di Argentina telah melancarkan mogok kerana membantah dekri presiden pada 11 Mac 2008 yang menaikkan cukai eksport kacang soya sehingga 45 peratus dan turut juga mengenakan duti baru ke atas eksport barangan makanan ruji yang lain

Sementara itu, di Filipina, kerajaan telah mengumumkan bahawa pemilik gudang dan peniaga yang didapati menyorokkan beras di Filipina akan didakwa atas tuduhan melakukan “sabotaj ekonomi” yang boleh membawa hukuman penjara seumur hidup. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) juga telah memberi amaran bahawa peningkatan harga makanan yang berterusan dunia boleh mencetuskan kekacauan dan ketidakstabilan suasana politik di seluruh pelosok dunia. 


            Makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu yang remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijiran dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini. Sekiranya, pada tahun 2007, rakyat Malaysia menjadi kecoh apabila bekalan gula dan minyak masak berkurangan di pasaran, bayangkanlah keadaannya sekiranya anda dapati tiada lagi beras dan tepung di rak-rak kedai runcit dan juga pasar raya. Walaupun setakat ini Malaysia belum terkesan dengan fenomena ini secara kritikal, namun berdasarkan 'trend' ekonomi dunia, hal ini langsung tidak mustahil boleh melanda negara kita jika kita alpa mengenainya. Justeru kesedaran rakyat dalam menjayakan proses menyelesaikan krisis makanan ini harus bermula dari hari ini lagi .

              Masalah kekurangan makanan, yang pada mulanya bersifat setempat dan sinonim dengan negara-negara dunia ketiga, kini menjadi lebih kronik apabila harga pasaran bekalan makanan di peringkat dunia juga turut meningkatkan dan mula memberi ancaman kesan yang lebih global termasuklah kepada negara-negara maju. Menurut statistik hasil kajian Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 700% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras kenaikan tertinggi. Kenaikan harga pasaran bijirin juga akan memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu.Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis yang telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbedung kepada negara-negara tertentu sahaja. 

               Krisis ini telah memberikan kesan langsung yang menyengsarakan penduduk dunia apabila kita dapat menyaksikan ketidakpuasan hati terhadap kemelut yang berlaku telah mula dizahirkan melalui aktiviti-aktiviti tunjuk perasaan dan bantahan. Rusuhan telah berlaku di Mexico pada 1 Febuari 2007 apabila rakyat Mexico tidak berpuas hati dengan kenaikan harga makanan yang meningkat sebanyak 400%. Setiausaha Agung Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-moon telah mengatakan bahawa di kebanyakan negara terutamanya di Afrika, pengguna terpaksa membayar lebih dua kali ke tiga kali ganda untuk makanan akibat daripada kemelut ini. Jika kita soroti sepintas lalu statistik yang ada, pada ketika ini terdapat lebih 854 juta manusia yang hidup dalam kelaparan. 


              Pakar ekonomi dunia berpandangan bahawa masalah pertambahan penduduk di dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan ialah antara alasan yang telah dijadikan sebagai punca berlakunya kekurangan makanan di dunia hari ini. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 billion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang pastinya tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan (kekurangan) sumber-sumber yang ada seperti tanah untuk bercucuk tanam dan juga bekalan air yang bersih untuk pengairan penanaman. Kepesatan permintaan secara mendadak dari kawasan ekonomi yang sedang pesat membangun seperti di China dan India juga telah dikatakan sebagai faktor penambah kepada ketidakseimbangan antara pengeluaran makanan dunia dan juga permintaan bahan makanan dunia.

               Keadaan ini juga telah dikatakan menjadi bertambah rumit lagi apabila faktor kebolehan pengeluaran juga telah terjejas akibat bencana alam seperti El Nino dan La Nina, pencemaran alam sekitar dan perubahan yang ketara pada iklim “rumah hijau” dunia secara keseluruhan. Australia telah dikatakan mengalami kemarau terburuk pada tahun 2007 dan telah menyebabkan hasil pengeluaran gandumnya menyusut sebanyak 55%. Hasil penuaian daripada China juga telah menyaksikan penurunan sebanyak 15% sepanjang pemantauan daripada Januari 2000. Faktor-faktor ini adalah dikatakan menjadi penyebab secara langsung kurangnya bekalan makanan yanag boleh diperolehi oleh penduduk dunia pada hari ini.

               Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barangan makanan juga telah dikaitkan dengan “kesan penggandaan” kepada beban yang telah pun sedia terhasil akibat daripada kemelut ini. Hal ini adalah kerana, apabila harga barangan makanan meningkat, maka akan menjadi semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan bekalan makanan tersebut selari dengan sistem ekonomi kapitalis dunia yang digunapakai pada hari ini. Kenaikan harga barangan ini telah dikaitkan dengan kenaikan harga minyak dunia dan juga bahan tenaga yang lain yang menjadi keperluan untuk memproses daripada bahan mentah asalnya, mengilang produk dan kos pengangkutan barangan makanan tersebut kepada penjual dan pengguna.

              Di samping itu, penghasilan bahan api bio bukan sahaja dikatakan telah melambungkan harga sumber makanan yang berkaitan, malah sekaligus mengurangkan jumlahnya dalam pasaran untuk keperluan makanan manusia dunia. Pada tahun lepas sahaja 30% daripada jumlah tuaian jagung Amerika Syarikat telah digunakan untuk penghasilan Ethanol (antara bahan yang digunakan untuk menghasilkan bahan api bio) dan jumlah ini pastinya memberikan impak yang besar kerana Amerika Syarikat menyumbang kepada 70% pasaran jagung dunia.

               Hakikatnya atau faktor yang diperkatakan tadi adalah bertentangan dengan realiti yang ada. Hairan jikalau dikatakan kekurangan bekalan makanan masih berlaku sekalipun apabila sebenarnya tahap pengeluaran makanan dunia pula bertambah melebihi tahap pertambahan penduduk dunia sedangkan jika dibandingkan antara jumlah penduduk dunia pada tahun 1961 dan 2005 kita dapati jumlah penduduk dunia telah bertambah sebanyak 2.1 kali ganda. Akan tetapi jika kita bandingkan tahap pengeluaran makanan antara tahun yang sama, kita dapati pengeluaran makanan dunia telah bertambah 2.8 kali ganda. Hal ini bermakna, jumlah makanan yang telah dihasilkan untuk setiap individu telah bertambah saban tahun. Oleh yang demikian, rasional bahawa antara punca krisis bekalan makanan adalah kerana bertambahnya bilangan penduduk dunia adalah pena’kulan yang meleset.

            Untuk isu perubahan tabiat makanan penduduk dunia yang dikatakan menjadi punca pertambahan permintaan makanan pula, realitinya harus dikaji dengan lebih teliti lagi. Jika kita tanya, benarkah penduduk dunia zaman sekarang makan lebih banyak berbanding dengan penduduk dunia puluhan atau ratusan tahun dahulu, walhal saiz perut manusia lebih kurang sama sahaja? Secara logiknya, keperluan makanan untuk bekalan tenaga manusia seharusnya menjadi semakin berkurangan oleh sebab manusia telah semakin banyak menggunakan mesin dan jentera bagi melakukan tugas-tugas, berbanding orang dahulu yang semata-mata bergantung kepada tulang empat kerat untuk bekerja. Jadi adakah benar manusia sekarang makan lebih banyak ataupun sebenarnya manusia zaman sekarang ini "membazir" dengan lebih banyak?

             Akan tetapi jika dilihat laporan kajian tentang pembuangan sisa-sisa makanan penduduk dunia kenyataan kedua sebenarnya lebih tepat. Sebagai contoh, setiap tahun sebanyak lebih daripada 160 billion kilogram makanan telah disediakan di Amerika Syarikat. Daripada jumlah ini, hampir 45 billion kilogram (termasuk sayur-sayuran segar, buah-buahan, susu dan produk bijirin) telah dibuang ke dalam tong sampah. Ironinya, secara purata, 4 billion kilogram makanan sudah cukup untuk menyelesaikan masalah kebuluran yang sedang melanda dunia sekarang.

                Bagi masalah bencana alam seperti banjir dan kemarau, memang benar manusia tidak mampu untuk menghalang kesan langsung yang akan berlaku. Namun, bencana tersebut bukanlah sesuatu yang sentiasa berlaku setiap hari atau setiap bulan sehingga sentiasa mengganggu keseluruhan sistem pengeluaran makanan dunia. Bencana sebenarnya hanya memberikan kesan jangka pendek, bukan kesan jangka panjang dan biasanya masalah ini akan pulih dalam jangka waktu yang singkat. Bencana tidak pernah menjadi kesan berpanjang sehingga surutnya jumlah makanan dunia. Sebagai contoh, di Malaysia, fenomena tengkujuh dan banjir besar yang melanda beberapa buah negeri di Malaysia (bersifat sementara) setiap tahun, tidak pernah menyebabkan Malaysia berada dalam krisis makanan. Jika berlaku sekalipun masalah kekurangan, masalah ini sebenarnya bukanlah disebabkan oleh ‘kekurangan’ itu sendiri, tetapi kerana wujudnya aktiviti ‘penyorokan’ dan juga penimbunan oleh pembekal serta pengagihan yang tidak efisyen.

              Begitu juga dengan permasalahan-permasalahan kekurangan bekalan makanan kerana penggunaannya untuk penghasilan bahan api bio. Fenomena ini sebenarnya lebih bersifat permasalahan pengurusan bekalan dan bukannya punca masalah dan perkara itu belum lagi mengambil kira aktiviti spekulasi harga komoditi bermotivasikan ketamakan di pasaran hadapan (future market) yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak dan makanan secara tamak dan tidak realistik. 


                Strategi pendekatan asas ini adalah berasaskan kekuatan-kekuatan asas yang terdapat dalam dunia. Kekuatan tersebut adalah: Tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber tenaga manusia yang banyak dan kekayaan dari sumber alam semula jadi. Dengan tanah yang subur dan luas yang terdapat dalam dunia usaha pertanian akan difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan dua perkara – penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan sistem pertanian melalui penerapan nilai proaktif. Hal ini termasuk menggalakkan pembukaan tanah pertanian baru dan pemberian tanah secara percuma kepada mereka yang mampu mengerjakannya. Subsidi pertanian juga akan diberikan secara meluas bagi menggalakkan aktiviti pertanian yang berkesan.Selain itu, sistem pengangkutan yang efisyen juga perlu dibina agar pengedaran makanan menjadi lebih berkesan.

                 Dari aspek sumber air, tuhan telah mengurniakan jumlah air yang cukup besar kepada kaum manusia. Di dunia, terdapat lebih daripada 150 billion meter padu air permukaan (sungai,tasik dll.) dan ini tidak termasuk sumber bawah tanah (7734 billion meter padu) yang cukup untuk seluruh penduduk dunia! Yang pasti, dengan jumlah air yang sebegini banyak masalah pertanian pasti tidak akan muncul. Namun sumber ini perlu diuruskan dengan sempurna melalui pembinaan empangan dan saliran pertanian yang meluas.




                      Krisis makanan dunia adalah satu krisis kemanusiaan yang wajib diselesaikan dengan secepat mungkin dan terbaik mampu. Langkah-langkah kerajaan Malaysia untuk mengadakan jumlah pengeluaran makanan perlu disahut oleh semua peringkat masyarakat Malaysia. Projek menjadikan Sarawak sebagai Jelapang Padi Kedua Negara akan mampu kelak mengurangkan kebergantungan kita kepada beras import dari luar negara. Usaha kerajaan untuk memartabatkan profesion pertanian serta membuka lebih banyak lagi kawasan yang baru serta juga usaha kerajaan untuk meningkatkan kajian dalam bidang pertanian bio-teknologi negara wajar diberikan tumpuan yang lebih oleh semua pihak.



Karangan 3


                       Sejak kebelakangan ini, krisis kekurangan makanan telah melanda dunia kita.Masalah ini menjadi semakin serius terutamanya kepada negara membangun seperti negara kita,Malaysia.Hal ini kerana kemelut ini mendatangkan pelbagai impak negatif kepada negara dan masyarakat.Pegarah Eksekutif Program Makanan Dunia Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu,Josette Sheeran,menggunakan istilah ‘the silent tsunami’atau tsunami senyap untuk menggambarkan keadaan ini.Dengan itu, faktor berlakunya krisis kekurangan makanan dan langkah penyelesaiannya akan dibincangkan.

                       Salah satu punca yang memangkin kepada masalah ini ialah peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan.Sedasawarsa ini,negara kita mengalami kadar pertumbuhan penduduk yang agak pesat, iaitu 2.6 peratus setahun.Hal ini menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan meningkat dengan drastik.Dengan itu,peningkatan permintaan terhadap bekalan makanan yang melebihi penwaran bekalan makanan telah menyebabkan krisis ini berlaku.Dalam era moden ini,perkembangan sektor perkhidmatan terutamanya dalam bidang hotel dan restoran telan menyebabkan permintaan terhadap bekalan makanan seperti beras,gula dan sayur-sayuran semakin meningkat.Hal ini demikian kerana mereka ingin memenuhi kehendak setiap pelanggan dengan menyediakan pelbagai hidangan dalam menu.Ternyatalah bahawa permintaan yang tinggi menyebabkan kekurangan bekalan makanan.

                    Selain itu,perubahan iklim yang ketara juga mendasari masalah ini.Saban hari, dunia kita mengalami perubahan iklim yang amat ketara.Sebagai contohnya,kejadian El-Nino semakin kerap berlaku dan banjir besar juga kerap melanda dunia kita.Baru-baru ini,kejadian El-Nino telah melanda Australia yang menyebabkan fenomena kebakaran hutan berlaku.Menurut statistik,kemarau terburuk yang melanda Australia telah menyusutkan pengeluaran gandum sebanyak 60 peratus.Fenomena ini telah menyebabkan bekalan gandum dunia berkurangan.Secara implisitnya,kejadian ini telah memberi impak kepada negara kita apabila harga gandum meningkat.Jelaslah bahawa perubahan iklim menyebabkan masalah ini berlaku.

                   Tambahan pula,kemerosotan simpanan stok makanan sedunia juga menyebabkan masalah ini berlaku.Dahulunya, stok makanan adalah melebihi permintaan sedunia.Namun demikian,setiap negara termasuk negara kita mengalami kekurangan simpanan stok makanan.Menurut statistik Bank Dunia,kadar simpanan bjirin dunia adalah pada paras terendah sejak 30 tahun.Dengan itu, kekurangan bekalan stok akan menyebabkan harga makanan seperti beras dan sayur-sayuran meningkat.Sebagai contohnya,harga pasaran global secara purata telah meningkat sebanyak 75 peratus sejak tahun 2000.Hal ini amat membebankan negara membangun dan rakyatnya kerana terpaksa menanggung kos perbelanjaan yang tinggi.Oleh itu,jelaslah bahawa kekurangan stok makanan mendasari masalah ini.

                    Setiap penyakit ada penawarnya,setiap masalah ada penyelesaiannya.Dengan itu,salah satu langkah yang boleh dijalankan ialah memajukan sektor pertanian.Sektor pertanian yang dahulunya diabaikan harus dibangunkan untuk menghasilkan bekalan makanan seperti beras dalam kuantiti yang banyak.Kerajaan haruslah mengusahakan aktiviti ini ke arah produktiviti yang berskala besar.Hal ini supaya keperluan tempatan dan eksport dapat ditampung di samping mengelakkan berlakunya peningkatan harga makanan.Perkongsian pintar dan penyelarasan operasi seperti jentera dan infrasttruktur dapat dikongsi antara petani untuk memajukan aktiviti pertanian yang diusahakan oleh mereka.Ternyatalah bahawa perkembangan sektor pertanian mampu mengatasi masalah ini.

                     Di samping itu, pembangunan tanah terbiar juga menangani masalah ini.Terdapat banyak kes tentang tanah yang terbiar terutamanya di Kelantan.Jika tanah terbiar ini tidak diusahakan,maka negara kita akan menghadapi masalah kekurangan tanah untuk penanaman padi,kelapa sawit dan sayur-sayuran.Oleh itu,jika tanah inii diusahakan dengan betul,maka kawasan tersebut tidak akan menjadi kawasan yang tidak berguna.Menurut kajian,selepas usaha ini dijalankan,negeri Kelantan mengalami peningkatan lebih 1000 hektar kawasan tanaman padi.Hal ini bukan sahaja mampu meningkatkan hasil pengeluaran bekalan makanan,malahan mengurangkan import negara.Jelaslah bahawa pembangunan tanah terbiar mampu mengatasi kemelut ini.

                       Tambahan pula,peranan pihak bank juga penting dalam mengatasi masalah ini.Pihak bank seharusnya membantu para petani dengan melonggarkan syarat pinjaman kepada mereka.Kebanyakan para petani terdiri daripada golongan miskin.Oleh itu,dengan melonggarkan syarat pinjaman,mereka mampu mempunyai modal untuk mengusahakan hasil tanaman mereka.Skim pembayaran balik pinjaman pula haruslah dilakukan pada waktu menuai kerana pada masa inilah petani memperoleh keuntungan daripada hasil tuaian.Dengan itu,para petani tidak akan terasa tertekan dengan pinjaman mereka.Bukan itu sahaja,dengan keuntungan yang diperoleh,mereka dapat membeli jentera yang canggih,seterusnya meningkatkan produktiviti mereka.Ternyatalah bahawa masalah ini dapat diatasi melalui peranan pihak bank.

                         Kesimpulannya,krisis kekurangan bekalan makanan sememangnya membimbangkan kerajaan dan juga rakyat.Hal ini kerana kemelut ini amat merugikan negara kita dari segi ekonomi dan sosial.Makanan seperti beras amatlah penting kepada kehidupan manusia dan negara kita.Makanan membekalkan zat kepada manusia dan menjana pendapatan kepada negara.Oleh itu,krisis kekurangan bekalan makanan haruslah diatasi secara kolektif demi kepentingan bersama.



Karangan 4

SEMUA manusia yang hidup di dunia ini memerlukan makanan. Tidak dapat dinafikan makanan adalah salah satu keperluan asas manusia di samping tempat tinggal dan pakaian. Oleh yang demikian, isu krisis makanan bukanlah satu isu remeh yang boleh dibiarkan begitu sahaja. Apa yang membimbangkan, krisis makanan yang menimpa dunia sekarang ini melibatkan bekalan makanan ruji seperti beras, gandum, bijirin dan jagung yang menjadi keperluan asas setiap individu di atas dunia ini.
Menurut statistik Bank Dunia, harga pasaran makanan global secara purata telah meningkat sebanyak 75% sejak tahun 2000 manakala kadar simpanan bijirin dunia kini adalah pada tahap terendah sejak 30 tahun. Harga gandum di pasaran dunia sahaja telah mencatatkan kenaikan sebanyak 200% manakala harga makanan ruji yang lain seperti beras dan kacang soya telah mencatatkan paras tertinggi.
Kenaikan harga pasaran bijirin juga telah memaksa kenaikan harga pasaran makanan yang lain secara langsung atau tidak langsung seperti harga daging, ayam, telur dan makanan tenusu. Sehubungan dengan situasi ini, pelbagai krisis telah melanda merata tempat di dunia dan tidak lagi terbendung kepada negara-negara tertentu sahaja. Menurut Program Makanan Dunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, lebih dari 73 juta orang di 78 negara yang bergantung kepada sumbangan makanan dari pertubuhan itu akan menghadapi pengurangan bekalan pada tahun-tahun mendatang.
Pada masa yang sama, faktor kenaikan harga barang makanan juga dikatakan menggandakan lagi kesan yang berlaku. Ini kerana apabila harga barang makanan meningkat, maka semakin sukar bagi kebanyakan penduduk dunia secara amnya untuk mendapatkan makanan tersebut selari dengan teori mekanisma harga yang menjadi mekanisma asas pengagihan dalam sistem ekonomi kapitalis. Kenaikan harga barang dagangan ini pula dikatakan berpunca daripada kenaikan harga minyak dunia.
Masalah pertambahan jumlah penduduk dunia yang tidak seimbang dengan pengeluaran makanan juga antara alasan yang sering dijadikan ‘punca’ mengapa berlakunya kekurangan makanan di dunia. Dianggarkan bahawa penduduk dunia akan bertambah melampaui tahap 9 bilion orang menjelang tahun 2050. Unjuran pertambahan ini dikatakan akan mendesak kepada keperluan bahan makanan yang mendadak yang tidak mampu ditampung oleh tahap pengeluaran makanan dunia kerana kelangkaan atau kekurangan sumber-sumber yang ada seperti air, tanah ladang dan sebagainya.
Menurut Program Bahan Makanan dan Pertanian PBB, masyarakat antarabangsa perlu menubuhkan rizab antarabangsa untuk menstabilkan harga bahan makanan. Rizab itu juga perlu ditubuhkan di pelbagai negara dan kawasan untuk menyediakan bahan makanan kepada penduduk yang hidup susah ketika berlakunya krisis. Selain itu, pelbagai negara khususnya negara-negara membangun perlu meningkatkan peruntukan dalam bidang pertanian. 98% penduduk yang menderita kelaparan adalah dari negara-negara membangun.
Untuk mengatasi krisis makanan dunia ini, negara-negara pertanian boleh memainkan peranannya. Antara kaedah bagi mengatasi krisis ini ialah pertama, kawasan tanaman mestilah diperluaskan untuk menambah bekalan. Contohnya seperti yang dilaksanakan di Malaysia di mana negeri Sabah dan Sarawak telah dijadikan negeri pertanian bagi menambahkan sumber makanan kepada rakyat. Kawasan tanah bukit juga boleh digunakan untuk penanaman andainya mengikut teknologi yang sesuai seperti sistem pengairan moden, baja, teknik tanaman dan sebagainya.
Hakikatnya, negara-negara membangun seperti Malaysia mempunyai empat kekuatan iaitu tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan sumber alam semulajadi. Dengan tanah yang subur dan luas, pertanian perlu difokuskan kepada meningkatkan pengeluaran pertanian berasaskan penggunaan baja dan peralatan moden serta perluasan lahan pertanian melalui penerapan undang-undang yang bersangkutan dengan hukum tanah pertanian. Selain itu, sistem pengangkutan yang efisien juga perlu dibangunkan agar pengedaran makanan menjadi lebih teratur, berkesan, cepat dan mudah.
Dari aspek sumber manusia, dianggarkan terdapat lebih kurang 48 juta orang yang menjalankan aktiviti pertanian. Bagi memastikan setiap individu di dalam negara-negara membangun mendapat keperluan asasnya, kerajaan perlu memberikan peluang dan galakan kepada orang-orang miskin dan tidak berkemampuan untuk bertani dengan memberikan tanah lahan secara percuma, subsidi dan apa juga bantuan kepada mereka.
Negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian di seluruh dunia harus mencontohi Malaysia di mana telah mewujudkan beberapa projek mega pertanian seperti Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Zon Industi Akuakultur, Ladang Kontrak, Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dan Pusat Fidlot Nasional. Malaysia juga melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenal pasti tujuh langkah perlaksanaan iaitu meningkatkan pengeluaran beras, pewujudan stok penimbal beras, pemberian insentif kepada pengusaha-pengusaha pertanian dan mewujudkan program peningkatan pengeluaran dan produktiviti bagi sektor tanaman, ternakan dan pertanian. Langkah lain termasuk mengukuhkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bagi memastikan pasaran dan pengagihan hasil-hasil pertanian, melaksanakan program Bumi Hijau dan mengurus kawasan terbiar untuk meningkatkan pengeluaran  komoditi sekuriti.
Negara-negara membangun khususnya negara pertanian di seluruh dunia juga harus beralih kepada melaksanakan teknik kultur tisu. Teknik kultur tisu, Molecular Assisted Selection (MAS) dan penggunaan bioreactor boleh digunakan untuk meningkatkan produktiviti makanan.
Bioteknologi harus dilihat sebagai alat yang boleh dimanfaatkan ketika dunia menghadapi krisis makanan kerana pemilihan baka atau benih yang dihasilkan menerusi bioteknologi mempunyai ciri-ciri yang lebih baik sama ada cepat matang, hasil lebih tinggi dan tahan penyakit. Teknologi kini dapat membantu pengeluaran makanan khususnya yang asas seperti padi, gandum dan jagung, meskipun wujud prejudis daripadanya. Isu-isu seperti organisme terubah suai secara genetik (GMO) menjadikan manusia ragu-ragu terhadap teknologi tersebut tetapi Molecular Assisted Selection boleh menjadi alternatif.
Kawasan penanaman semakin berkurangan sedangkan penduduk semakin meningkat. Justeru, sebagai alternatif, bioteknologi boleh meningkatkan pengeluaran makanan secara berganda untuk keperluan manusia. Universiti dan agensi penyelidikan tempatan seperti Universiti Putra Malaysia dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), sebagai contoh boleh menggandakan usaha menghasilkan lebih banyak penyelidikan yang mampu melipatgandakan pengeluaran produk makanan.
Kesimpulannya, negara-negara membangun terutamanya negara-negara pertanian boleh memainkan peranan yang besar dalam mengatasi krisis makanan dunia. Walaupun negara-negara ini sinonim dengan kemiskinan tetapi kekayaan tanah yang subur, sumber air yang melimpah-limpah, sumber manusia yang besar, dan kekayaan dari sumber alam semulajadi merupakan anugerah Allah s.w.t yang tidak ternilai harganya yang boleh dijadikan modal asas dalam usaha menggiatkan bidang pertanian.




Karangan 5

Mutakhir ini, kita sering dikejutkan dengan isu kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Isu-isu tersebut seakan-akan tidak pernah engsot dari bibir masyarakat, bak kata pepatah, tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata. Selari dengan kegawatan ekonomi, masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran bukan sahaja merunsingkan masyarakat malahan membebankan rakyat jelata. Bayangkan betapa susahnya kehidupan rakyat apabila dihimpit dua masalah serentak. Walau bagaimanapun, pelbagai mekanisme dapat diaplikasikan untuk menangani permasalahan ini. Persoalannya, bagaimanakah cara terbaik menangani masalah yang menjadi duri dalam daging kepada masyarakat kita hari ini?
Pada hemat saya, kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran. Langkah pemantauan harga barangan dan penetapan harga siling harus dilaksanakan secara istiqamah dan berkesan. Tindakan ini bertujuan untuk memastikan tiada peniaga yang akan menaikkan harga barangan sesuka hati dan yang paling penting adalah dengan menetapkan harga barangan pada kadar yang ditentukan oleh pihak kementerian berkenaan seperti harga gula RM2.20 sekilogram. Tidak terkecuali, kerajaan juga harus menguatkuasakan undang-undang tertentu atau memperketat undang-undang yang sedia ada. Kita sememangnya difahamkan bahawa undang-undang yang luwestidak dapat mengubah keadaan. Sebaliknya dengan penguatkuasaan undang-undang yang ketat, seperti hukuman penjara, denda yang setimpal atau lesen perniagaan ditarik balik, barulah peniaga-peniaga akan sentiasa berwaspada dan berasa serik untuk menaikkan harga barangan atau menyorokkan bekalan makanan sesuka hati. Dalam konteks yang sama, kerajaan juga harus memperkasa peranan Tribunal Tuntutan Pengguna serta melindungi hak pengguna dari semasa ke semasa, tanpa mengira apa-apa cara sekalipun. Tindakan pantas terhadap laporankenaikan harga barangan sesuka hati atau kekurangan bekalan makanan di pasaran haruslah diambil supaya kebajikan dan hak rakyat sebagai pengguna dipelihara. Bukan itu sahaja, kerajaan juga bertanggungjawab menggiatkan aktiviti Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti pertanian. Hal ini bertujuan memastikan rakyat mendapat bekalan makanan yang berterusan.  Sementelahan itu, kerjaaan perlu meningkatkan import makanan sekiranya masih berlakunya kekurangan seperti bekalan gula dan beras. Untuk menjayakan usaha ini, Taman Kekal Pengeluaran Makanan boleh diwujudkan dan kerajaan juga wajib meningkatkan teknologi pertanian seperti penggunaan mesin, pengusahaan tanah pertanian pada skala besar, menggiatkan tanaman aeroponik, hidroponik atau organik bagi mempercepat dan memperbanyak hasil pertanian yang menyumbang kepada kelangsungan bekalan makanan. Jelasnya, peranan kerajaan amat penting dalam menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran.
Selain itu, tidak dinafikan bahawa media massa juga memainkan peranan yang dominan dalammenangani masalah ini. Berperanan sebagai saluran informasi terkini, media massa haruslah mendedahkan isukenaikan harga barangan serta masalah kekurangan bekalan makanan di pasaran kepada masyarakat. Informasi atau berita tersebut boleh disampaikan menerusi kaca televisyen, iklan, surat khabar, majalah mahupun internet dan sebagainya. Dengan itu, masyarakat akan membuat persediaan awal dalam menghadapi kemelut tersebut. Senarai barangan kawalan juga harus didedahkan kepada masyarakat untuk pengetahuan pengguna, terutamanya semasa hari perayaan. Misalnya, barang-barang yang disenaraikan sebagai barang kawalan adalah seperti daging ayam, gula, telur ayam, tepung dan sebagainya. Implikasinya, masyarakat akan menjadi lebih berpengetahuan dan mampu menjadi pengguna yang bijak serta tidak mudah diperdaya oleh peniaga. Sekiranya berlaku perubahan atau pindaan dalam senarai barang kawalan, maka maklumat tersebut perlu diumumkan supaya hak pengguna tidak tergugat. Kempen-kempen yang efektif juga tidak boleh dikesampingkan misalnya, media massa boleh menggiatkan serta menggerakkan kempen berjimat cermat, kempen pertanian sebagai perniagaan dan sebagainya. Hal ini akan dapat melatih masyarakat agar sentiasa bersedia dan tidak panik ketikamasalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran berlaku. Kempen pertanian sebagai perniagaan juga akan dapat merangsangkan minat golongan muda untuk bergiat aktif dalam bidang pertanian atau menerimanya sebagai kerjaya. Hal ini demikian kerana dengan bertani, kita juga boleh mengaut keuntungan jika dilakukan secara gigih dan merupakan salah satu profesion yang dapat menjamin peningkatan ekonomi. Sekiranya sektor pertanian digiatkan, nescaya bekalan makanan di pasaran akan meningkat. Izharnya, kita sedia maklum betapa pentingnya peranan media massa dalam menangani masalah-masalah ini.
Sementelahan itu, peranan individu dan masyarakat juga tidak boleh diabaikan. Peranan dan kerjasama mereka amat signifikan untuk menangani masalah-masalah ini. Mereka harus faham akan kebaikan amalan bijak berbelanja dan mengamalkan budaya berjimat cermat dalam kehidupan. Segala perbelanjaan yang tidak diperlukan haruslah dikurangkan bagi mengelakkan pemborosan dan pembaziran. Apabila melakukan pembelian atau semasa membeli-belah, masyarakat haruslah menyenaraikan barang yang hendak dibeli dan tidak membelibarangan secara berlebihan. Tindakan bijak ini membolehkan pengguna membeli barangan yang diperlukan sahaja dan dapat mengelakkan perbelanjaan boros, bak kata pepatah, sambil berdiang, nasi masak. Tambahan pula, masyarakat juga harus mengetahui hak-hak sebagai pengguna. Mereka harus memastikan barangan yang dibeli berkualiti dengan harga yang berpatutan supaya tidak mudah dieksploitasi oleh peniaga. Kalau mendapati peniaga yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang, maka kita sebagai mata dan telinga pihak kerajaan harus segera melaporkan hal tersebut kepada pihak berkuasa supaya tindakan tegas seperti penggantungan lesen, penyitaan premis perniagaan mahupun hukuman penjara boleh dijatuhkan jika didapati bersalah. Sebagai pengguna, kita berhak menggunakan kuasa untuk memboikot barangan, peniaga mahupun kedai yang berkaitan apabila berlaku ketidakadilan ekoran perbuatan tidak bertanggungjawab peniaga. Masyarakat juga dinasihati supaya mengelak pembelian panik kerana tindakan sebegini hanya akan menyebabkan stok barangan seperti minyak masak atau gula berkurangan di pasaran. Keadaan inilah biasanya diambil kesempatan oleh peniaga untuk menaikkan harga barangan, bak kata pepatah, menangguk di air keruh. Oleh itu, sebagai tulang belakang negara, kita juga digalakkan melibatkan diri dalam sektor pertanian. Kita seharusnya percaya bahawa segala keringat dalam menjana hasil pertanian adalah penting untuk membanteras kekurangan bekalan makanan di pasaran.
            Tidak kurang pula, peranan peniaga-peniaga dalam mematuhi peraturan dan undang-undang. Segala urusan perniagaan haruslah dijalankan mengikut piawaian perniagaan dan bukan secara sesuka hati. Paling penting peniaga-peniaga juga tidak harus mengabaikan kepentingan orang lain. Misalnya, bersikap individualistik dan hanya mementingkan keuntungan bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Apabila telah tersemai nilai-nilai murni dalam diri dan mengamalkan etika perniagaan yang jujur dan adil, maka peniaga tidak akan menyorok barangan mahupun menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.  Lantaran itu, segala kebajikan dan hak pengguna akan dapat dipenuhi dan dijaga. Pengusaha dalam sektor pertanian juga harus bersikap inovatif, terutamanya dalam meningkatkan pengeluaran bekalan makanan. Penyelidikan dan pembangunan atau R&D untuk meningkatkan hasil keluaran haruslah dijalankan kerana kaedah ini merupakan suatu mekanisme untuk menangani masalah kekurangan bekalan makanan. Kaedah ini bukan sahaja akan dapat meningkatkan hasil keluaran malah, kualiti produk yang dihasilkan juga akan lebih baik.  Maka, sudah terang lagi bersuluh bahawa tanggungjawab peniaga dan pengusaha sektor pertanian penting dalam usaha menangani masalah kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di negara ini.
Akhirulkalam, memandangkan kenaikan harga barangan dan kekurangan bekalan makanan di pasaran mencetuskan banyak masalah kepada masyarakat, pelbagai pihak haruslah menggembleng kudrat  untukmenangani masalah ini, bak kata pepatah, ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dalam menangani masalah tersebut hingga ke akar umbi.


Karangan Mempertahankan Unsur Kebudayaan

KARANGAN 1

Kepentingan budaya tradisonal kita
Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.
     Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
     Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
     Salah satu tarikan pelancongan ialah budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia juga dapat ditemukan di kebanyakan tempat, misalnya di Indonesia dan di Negara Thai. Yang unik ialah budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.
     Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.
        Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

        Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya ! tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun clan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.
        Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”. 
        Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujaN



KARANGAN 2

          Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Tiga kaum yang terbesar  terdapat di negara ini ialah kaum Melayu, Cina dan India. Perkara ini juga merupakan salah satu keunikan Malaysia berbanding  negara lain di dunia. Kewujudan pelbagai kaum ini telah menyebabkan variasi dalam pelbagai bentuk aspek kehidupan seperti makanan yang berlainan  untuk setiap kaum, cara berpakaian dan pakaian tradisional mengikut mengikut kaum masing-masing, adat melangsungkan perkahwinan mengikut agama dan kepercayaan  serta bahasa. Seperti yang telah termaktub  dalam perlembangan Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi negara tetapi agama lain bebas diamalkan. Oleh itu, pelbagai budaya warisan telah wujud di Malaysia sejak dahulu lagi. Namun, pada zaman era globalisasi ini, pelbagai masalah datang menghampiri masyarakat dengan kemasukan budaya-budaya luar seperti budaya Barat dalam kehidupan seharian menyebabkan keaslian budaya warisan pelbagai kaum terhakis. Sebagai masyarakat Malaysia, usaha mengekalkan budaya warisan pelbagai kaum adalah amat penting.
              Antara kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum masing-masing adalah sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama masing-masing. Setiap adat yang diamalkan oleh sesuatu kaum, pasti berkait rapat dengan kepercayaan dan agama kaum tersebut. Contohnya, adat melayan tetamu dalam masyarakat Melayu adalah dengan cara melayan tetamu  sebaik-baiknya. Hal ini berkaitan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya melayan tetamu dengan sebaik-baik mungkin kerana tetamu yang datang ke rumah  membawa rahmat. Selain itu, dalam adat berpakaian pula, masyarakat Melayu memakai baju kurung yang agak longgar. Hal ini kerana agama Islam meyuruh umatnya memakai pakaian yang longgar dan sopan bertepatan dengan potongan   baju kurung. Perkara ini jelas menunjukan bahawa adalah amat penting untuk mengekalkan budaya warisan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama dan kepercayaan masing-masing.
             Seterusnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk mengekalkan daripada terus dilupakan dan hilang ditelan zaman. Warisan ini seharusnya dikekalkan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas. Hal ini juga penting bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan budaya Barat yang boleh merosakkan bangsa kita. Kemasukan budaya Barat dalam budaya warisan kita dikhuatiri akan merosakkan generasi yang akan datang dengan pengaruh negatif yang dibawa oleh mereka. Perkara ini juga penting untuk mengelakkan negara kita daripada dijajah lagi oleh negara luar sama ada dari segi mental dan fizikal. Sudah terang lagi bersuluh hal ini menunjukkan bahawa amat penting untuk kita mengekalkan budaya warisan bangsa agar budaya Barat tidak dapat menyerap masuk ke dalam diri anak-anak muda yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa yang akan datang.
               Selanjutnya kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan identiti kaum masing.masing. Misalnya, kita dapat mengenali sesuatu kaum melalui cara berpakaian mereka. Contohnya baju Melayu atau baju kurung merupakan pakaian tradisional orang Melayu. Manakala, Cheongsam merupakan pakaian tradisional masyarakat China dan Sari merupakan pakaian tradisional masyarakat India. Perkara ini penting supaya kita dapat mengenali adat dan budaya kaum lain dengan lebih mendalam dan kita akan lebih menghormati kaum mereka. Identiti kaum adalah penting untuk menunjukkan keunikan kaum masing-masing kerana setiap kaum pasti mempunyai keunikan yang tersendiri. Melalui cara ini jugakita dapat memperkenalkan budaya kita kepada orang luar. Tegasnya, pengekalan budaya warisan amat penting untuk menunjukkan identiti kaum masing-masing kepada masyarakat luar.

              Akhirnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan variasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkara ini boleh dijadikan sebagai satu bahan tarikan pelancong di Malaysia. Makanan yang pelbagai, bahasa yang bermacam-macam memudahkan komunikasi antara anggota masyarakat dengan pelancong asing. Malahan pakaian tradisional serta adat-adat yang diamalkan oleh kaum masing-masing amat menarik bagi orang luar. Tambahan pula, dengan suasana negara dan keadaan yang aman damai ini telah mendorong kemasukan pelancong asing. Kemasukan pelancong asing menyebabkan berlaku pertukaran wang asing dan ini menyebabkan ekonomi Malaysia meningkat. Perkara ini diumpamakan sambil menyelam minum air kerana di samping mengekalkan budaya warisan bangsa , kita juga dapat menolong meningkatkan ekonomi negara .Jelaslah bahawa mengekalkan budaya warisan bangsa adalah penting bagi meningkatkan kadar kemasukan pelancong asing ke negara kita.

             Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan budaya tersebut pupus ditelan zaman. Hal ini demikian kerana budaya ini merupakan warisan daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang justeru semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menjaga warisan bangsa sebagai satu identiti kaum dan maruah bangsa.

KARANGAN 3

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan
           Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.
             Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.
          Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. 
           Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.
         Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.   Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.
            Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

KARANGAN 4

Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.
Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.
Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.
Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.
Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.
Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.
Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup



KARANGAN 5

tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita smakin lenyap ditelan arus pemodenan.
Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keuikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni.
Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi.Kita saling menerima dan memberi. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.



Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.
Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.


SINTAKSIS

Sintaksis ialah bidang illmu bahasa yang mengkaji bentuk struktur dan binaan atau konstruksi ayat. Aspek sintaksis yang diberi tumpuan adalah seperti berikut :


- Unsur utama yang terdiri daripada kata frasa, klausa dan aspek                           pembinaannya serta pembahagian subjek dan predikat
- Dapat mengenalpasti jenis ayat
- Ragam ayat iaitu pasif atau aktif
- Susunan ayat iaitu biasa atau songsang
- Binaan dan proses penerbitan ayat
- Ayat Dasar
- Ayat Tunggal dan ayat terbitan atau ayat majmuk


MENGAPA BAHASA MELAYU DIPILIH SEBAGAI BAHASA KRBANGSAAN

Bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan dinegara ini atas beberapa faktor iaitu : 

i-         Bahasa Melayu mempunyai ramai penutur di negara               ini 

ii-        Bahasa Melayu ialah Bahasa yang bersifat peribumi               di negara ini

iii-       Penggunaan Bahasa Melayu sebagai alat komunikasi             sudah sekian lama berjalan dan ini tidak akan                         menimbulkan masalah bagi komunikasi umum 

iv-       Bahasa Melayu telah lama menjadi bahasa                                 pentadbiran di negeri Melayu

Pembentukan Kata Dan Prosesnya

PEMBENTUKAN KATA


i)        Bentuk kata tunggal.
ii)      Bentuk kata terbitan.
iii)    Bentuk kata majmuk
iv)    Bentuk kata ganda.


BENTUK KATA TUNGGAL 

Terbahagi kepada beberapa bahagian :
i- Kata Tunggal Satu Suku Kata  (Ku, Aku)
ii- Kata tunggal Dua Suku Kata (Angka, Indah)
iii- Kata Tunggal Tiga Suku Kata (Tuala, Ziarah)
iv- Kata Tunggal Empat Suku Kata (Bijaksana)


BENTUK KATA TERBITAN / PENGIMBUHAN

i- Kata Terbitan Berawalan

- Awalan kata nama 
- Awalan Kata Kerja
- Awalan Kata Adjektif

ii- Kata Terbitan Berakhiran 

- Akhiran Kata Nama
- Akhiran Kata Kerja

iii- Kata Terbitan Berapitan 

- Apitan Kata Nama
- Apitan Kata Kerja
- Apitan Kata Adjektif

iv- Kata Terbitan Bersisipan

- Kata nama
- Kata Adjektif
- Kata Kerja


BENTUK KATA MAJMUK

- Terdiri daripada rangkaikata bebas
- Terdiri daripada bentuk khusus
- Terdiri daripada kiasan


BENTUK KATA PENGGANDAAN 

- Penggandaan Penuh 
- Penggandaan Separa
- Penggandaan Berentak









Sistem Ejaan

SISTEM EJAAN

a) Huruf Vokal
b) Huruf Diftong 
c) Huruf Konsonan & Konsonan Gabungan

HURUF VOKAL

Mempunyai 6 fonem atau bunyi vokal standard. Huruf-huruf yang melambangkan bunyi tersebut ialah :
i- a
ii- e (talling)
iii- e (pepet)
iv- i
v- o
vi- u


HURUF DIFTONG

Terdapat 3 diftong yang dilambangkan oleh Bahasa Melayu iaitu :
i- ai
ii- au
iii- oi
HURUF KONSONAN & KONSONAN GABUNGAN 

Terdapat 25 fonem Konsonan yang dilambangkan oleh 26 huruf iaitu :
i- b
ii-   c      
iii- d
iv-  f
v-   g
vi- gh
vii- h
viii- j
ix-   k
x-    kh
xi-    l
xii-  m
xiii-  n
xiv-  ng
xv-   ny
xvi-   p
xvii-  q
xviii- r
xix-   s
xx-   sy
xxi-   t
xxii- v
xxiii- y
xxiv- w
xxv-   x
xxvi-  z