Thursday, 14 September 2017

Karangan Masalah Sosial

Karangan 1

Masalah sosial dalam kalangan remaja merupakan fenomena yang semakin membimbangkan kita pada hari ini. Masalah seperti penagihan dadah, salah laku pelajar, pergaulan bebas dan sebagainya semakin berleluasa dan kian meningkat. terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja ini.
Salah satu daripanya ialah krisis keluarga yang menyebabkan kwalan sosial ke atas anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang sering bertengkar sudah pasti tidak dapat mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dengan baik dan sempurna. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang sibuk dengan tugas mereka di pejabat sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka. Akibatnya, terdapat anak-anak yang melarikan diri daripada rumah, bergaul dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya  dan dari situlah bermulanya segala masalah sosial yang disebut di atas.
Di samping ibu bapa, masalah ini juga berpunca daripada pengaruh media massa. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, para remaja mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh yang negatif melalui internet dan banyak saluran yang laim sehingga minda mereka mudah diracuni oleh unsur-unsur yang kurang sihat. Di sampin itu, tuntutan modenisasi yang turut memberikan tekanan kepada remaja yang inginkan kebebasan untuk lepas daripada kongkongan ibu bapa dan menuntut hak individu juga memyebabkan remaja menolak autoriti ibu bapa yang mengawal tingkah laku mereka.
Masalah sosial ini juga berkait rapat dengan kemerosotan disiplin di sekolah. Disebabkan ada segelintir pihak sekolah yang tidak mengenakan hukuman yang tegas terhadap pelajar-pelajar yang melanggar disiplin, maka mereka ini akan berani untuk melakukan perbuatan yang sama. Tabiat buruk ini akan dibawa oleh mereka apabila meninggalkan bangku persekolahan kelak. Hal ini sudah tentu akan memberikan persepsi yang negatif oleh masyarakat terhadap mereka dan juga menyukarkan proses kemasukan ke pendidikan tinggi serta alam pekerjaan memandangkan testimoni pelajar oleh pihak sekolah bersifat negatif.
Untuk mengurangkan masalah sosial ini, ibu bapa haruslah mendidik dan menerapkan nilai-nilai murni serta ajaran-ajaran  agama yang sempurna kepada anak-anak supaya mereka menjadi remaja yang bermoral dan berakhlak mulia. Ibu bapa perlu memahami masalah anak-anak mereka dan menjadikan anak mereka sebagai kawan dan bukannya lawan. Selain itu, ahli keluarga yang lain seperti abang dan kakak juga berperanan dalam memastikan adik-beradik dipantau dengan sempurna.
Di peringkat sekolah pula, para guru amat berperanan dalam mengawal pelajar mereka daripada melakukan gejala sosial. Sikap lepas tangan sesetengah guru seharusnya tidak dicontohi kerana pelajar merupakan tanggungjawab mereka ketika berada di sekolah. Para guru juga harus peka dan sentiasa terbuka kepada mendengar masalah pelajar serta menasihati mereka secara baik. Di samping itu, disiplin di sekolah juga perlu dipertingkatkan. Hubungan erat antara ibu bapa dan guru perlu dipertingkatan supaya ibu bapa sentiasa mendapat maklum balas daripada guru yang mengajar anak-anak mereka. Pihak sekolah juga seharusnya memperhebatkan Unit Kaunseling untuk membantu pelajar-pelajar yang bermasalah supaya mereka tidak berasa terpinggir.
Kesimpulannya, untuk membendung masalah sosial ini daripada terus menular, pihak-pihak yang terlibat harus berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing. Jika semua pihak dapat mengemblengkan usaha dalam mengatasi masalah sosial dalam kalangan remaja ini, sudah pasti masalah ini dapat diselesaikan sehingga ke pakar umbi.




Karangan 2

              Pada era globalisasi ini, masalah gejala sosial semakin meningkat dari semasa ke semasa. Hal ini mendatangkan kebimbangan banyak pihak antaranya ibu bapa khususnya. Masalah sosial seperti gejala melepak, lumba haram, buli dan sebagainya semakin hangat diperkatakan dari buah mulut masyarakat malah menjadi isu yang serius dipaparkan didada-dada akhbar kebelakangan ini. Oleh itu, kita tidak seharusnya memandang enteng akan masalah tersebut. Terdapat beberapa punca berlakunya masalah sosial ini terjadi kepada golongan remaja khususnya.
              Antara punca berlakunya gejala sosial ialah masalah hal keluarga yang dihadapi dalam sebuah keluarga. Pertengkaran ataupun perbalahan antara ibu bapa yang berlarutan memberi impak yang besar terhadap anaknya tanpa mereka sedari. Masalah tersebut banyak berlaku apabila kedua orang tua yang disayangi mengambil keputusan untuk menamatkan hubungannya dengan erti kata lain berpisah mendorong anak untuk mencari kehidupan yang lebih baik diluar dengan melakukan aktiviti yang kurang sihat iaitu melepak. Perasaan inginkan hiburan adalah lumrah kehidupan individu dengan bertujuan melepaskan tekanan dan melupakan masalah yang berlaku keatas dirinya. Percampuran pergaulan denagn golongan yang kurang adab dan tidak membawa kebaikan membuatkan mereka menjadi lebih liar dan turut kurang akhlak dalam dirinya. Lebih membimbangkan apabila mereka berasa kawan lebih penting dari keluarga. Hal ini kerana, sikap ambil berat seseorang terhadapnya menimbulkan perasaan rasa kurang kasih saying atau perhatian daripada ibu bapa. Hal ini juga berpunca disebabkan oleh ibu bapa yang tidak mengambil berat serta memandang rendah tentang masalah ynag dihadapi oleh anak mereka. Selain itu, anak-anak yang kurang mendapat perhatian ibu bapa akan mengambil tindakan yang salah tanpa berfikir panjang seperti terbabit dalam pelbagai masalah gejala sosial. Jika dibiarkan gejala melepak ini berlarutan kemungkinan akan mendatangkan pandangan yang kurang enak  dari negara luar yang beragama islam terhadap gaya hidup masyarakat kita. Justeru itu, imej negara kita akan tercemar hanya disebabkan masalah gejala melepak ini. Maka, ibu bapa memainkan peranan yang besar dalam mendidik anak dari awal lagi bak kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, ibu bapa juga perlu mengetahui dan mengenalpasti latar belakang kawan agar anak tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak sihat. Malahan, pihak polis perlulah kerap melakukan rondaan ditempat-tempt yang menjadi sasaran remaja melepak. Dengan usaha yang dilakukan dapat mengurangkan masalah gejala sosial sekaligus masalah jenayah di negara kita.
             Tambahan pula, masalah buli juga merupakan salah satu gejala sosial yang semakin berleluasa. Ini disebabkan remaja mudah  terpengaruh dengan keadaan sekeliling dan juga aksi ynag ditayangkan di media massa. Kita dapat menyaksikan betapa aksi-aksi ganas yang ditanyangkan sebenarnya boleh mendatangkan kesan negatif terhadap remaja khususnya untuk turut mencuba melakukannya. Sikap remaja yang ingin mencuba sesuatu yang baru mempengaruhi diri dan terus melakukannya tanpa memikirkan akibat atau kesan terhadapnya malah keluarganya. Malahan, kebanyakan pihak sekolah yang buntu dalam mencari jalan bagi mengatasi masalah tersebut membuatkan mereka makin naik lemak dan berani melakukan lebih sehingga melibatkan kes pembunuhan. Apa yang lebih membimbangkan adalah sikap belas kasihan dalam diri si pembuli langsung tiada sehinggakan tidak kisah jika tindakannya sampai ke tahap pembunuhan. mengapa hal ini terjadi? Masalah ini sering terjadi adalah kerana sikap ibu bapa yang kurang memberi didikan agama dan lebih mengisi masa dengan mencari punca pendapatan daripada memberi perhatian sepenuhnya terhadap anak. Justeru itu,ibu bapa yang tidak mahu mengambil tahu akan masalah yang dihadapinya di sekolah iaitu remaja. Implikasinya, kurang keyakinan diri akibat dibuli. Selain itu, perasaan takut muncul untuk ke sekolah akibat daripada perbuatan ini. . Dengan itu, kempen mengatasi masalah buli perlu diadakan dengan lebih kerap di sekolah dengan bertujuan bagi mendedahkan dengan lebih terperinci dan lebih dalam akan keburukan membuli. Malah, ibu bapa perlulah sentiasa menyuarakan dan menanyakan masalah yang dihadapi remaja dan memberi cadangan untuk menyelesaikannya. Melalui cara yang santai ini dapat mengeratkan hubungan silaturrahim dan turut sama menyelami hati dan keinginan mereka.
                          Seterusnya, masalah ponteng sekolah. Senario ponteng sekolah bukanlah masalah sosial baru di kalangan pelajar sekolah di negara ini. Daripada keseluruhan pelajar yang dikenal pasti terbabit dengan masalah ponteng, kira-kira 97% adalah dari kalangan pelajar lelaki dan 3% adalah kalangan perempuan. Masalah ponteng sekolah lebih ketara berlaku di kalangan pelajar sekolah menengah iaitu tingkatan 2 dan 3 terutama mereka yang bersekolah di kawasan Bandar dan sekolah di pinggir Bandar. Di antara faktor yang menyebabkan berlaku masalah ini ialah tiada minat atau motivasi untuk ke sekolah, pengaruh rakan sebaya dan pengaruh persekitaran seperti melepak di pusat hiburan, pusat membeli belah dan melayari internet di cyber cafe
                           Perkara kepada suka mencuba ini adalah berkait rapat dengan lumba haram juga. Gejala lumba haram mula popular dikalangan remaja sekitar akhir tahun 90 an. Alasan sering kali diutarakan oleh remaja yang menyertai lumba haram ini adalah inginkan kebebasan dan keseronokan. Kebiasaannya, hadiah yang dipertandingkan dalam perlumbaan haram ini adalah wang pertaruhan yang diperolehi dari penonton dan gadis remaja daripada kumpulan yang kalah. Mereka tidak ketinggalan menggunakan dadah. Kumpulan lumba haram ini tidak takut kepada pemantauan pihak polis dan yang paling teruk mereka tidak takut mati setiap kali berlumba. Tidak menjadi masalah besar buat mereka seandainya mereka pernah terbabit dalam kemalangan atau rakan mereka maut ketika berlumba. Kumpulan ini mempunyai perasaan setia kepada kumpulan masing-masing dan sanggup terlibat dalam pergaduhan. Motosikal yang digunakan untuk perlumbaan haram kebiasaannya telah diubah. Peratusan remaja yang terlibat dalam perlumbaan haram ini semakin meningkat dan pihak polis sendiri semakin kerap membuat pemantauan bagi mengurangkan kes lumba haram sekaligus mengurangkan kadar kemalangan ngeri akibat perlumbaan tersebut.
                           Sehubungan dengan itu, ibu bapa memainkan peranan yang besar dan penting dalam mendidik anak dan mencorak akhlak anak agar menjadi insan yang berguna kelak. Malah ibu bapa sebenarnya merupakan insan yang menjadi role moden terhadap anaknya. Jika elok peridadi diri kedua orang tuanya maka elok jugalah kelakuan anaknya bak kata pepatah mana tumpahnya kuah kalau tidak dinasi. Selain itu, didikan agama yang lebih mendalam sejak kecil lagi perlu diterapkan agar mereka tahu baik buruk sesuatu perkara sebelum melakukannya agar mereka dapat membezakan perkara yang boleh mendatangkan akibat yang besar terhadap mereka juga keluarganya. Di sekolah pula, pihak sekolah juga memainkan peranan yang penting dalam pemantauan pelajar sekolahnya. Hal ini kerana guru merupakan orang penting yang kedua selain ibu bapa. Kempen tentang bahayanya dadah ataupun akibat berlakunya gejala sosial perlu diadakan dengan lebih kerap dan lebih terperinci agar mereka mengetahui dengan lebih dalam sesuatu jenayah. Perhatian yang sempurna daripada pihak guru juga perlu dititikberatkan kerana remaja gemar disayangi dan mereka juga berasa bahawa mereka memerlukan tempat bermanja selain daripada kedua ibu bapanya. Nasihat dan teguran sekiranya mereka melakukan kesalahan memberi impak yang besar agar mereka tidak lagi mengulangi perkara yang boleh mendatangkan rasa kekecewaan dalam diri orang yang mereka sayangi.
 Disamping itu, pihak polis perlu kerap mengadakan pemantauan agar masalah gejala sosial seperti melepak dan lumba haram dapat dikurangkan dan sekaligus dapat mengurangkan kadar jenayah dalam negara kita. Sekiranya hal ini dibiarkan ataupun dipandang enteng sahaja akan memberi kesan yang buruk terhadap imej negara kita. Malah, kadar jenayah semakin meningkat dan kemungkinan perasaan belas kasihan sudah tiada dalam diri seseorang individu. Kadar jumlah anak luar nikah juga akan meningkat dari semasa ke semasa jika gejala buruk seperti ini makin berlarutan. Imej keluarga juga turut terjejas dan menjadi buah mulut orang sekeliling. Disebabkan akan hal tersebut, kurang keyakinan diri dalam diri seseorang individu akan makin menguasai diri dan akan terlahirlah golongan remaja yang tidak progresif, aktif dan berkerjaya dalam negara kita. Negara kita juga akan menjadi lebih kucar-kacir keadaannya di masa akan datang. Ini kerana bakal pemimpin negara iaitu remaja yang merupakan generasi y memiliki akhlak yang kurang dan juga lebih mementingkan keseronokan hidup daripada memikirkan perkara yang berkaitan dengan isu-isu negara. Keluarga memainkan peranan yang sangat  penting kerana dari instirusi kekeluargaanlah kebahagiaan dan keharmoniaan sesuatu masyarakat itu terbentuk. Keruntuhan sesebuah institusi kekeluargaan akan menyebabkan hilangnya kebahagiaan dan keharmoniaan yang dialami sesuatu masyarakat. Akhlak seseorang individu remaja yang baik dan mulia datangnya daripada sesebuah institusi kekeluargaan yang harmoni dan bahagia. Oleh sebab itu, keruntuhan sesebuah akhlak dalam institusi kekeluargaan akan memberi kesan yang besar ke atas kebahagiaan dan keharmonian sesuatu institusi kekeluargaan itu. Akibat daripada wujudnya ketidak harmonian dalam kekeluargaan, sesebuah kekeluargaan pastinya akan berlaku penceraian. Ini akan menjadikan masa depan anak-anak akan terbiar dan tidak terpelihara. Seterusnya hilang tempat bergantung dan bermanja. Kesannya berlakunya masalah-masalah sosial seperti diatas yang telah dibincang.seseorang insan yang dilahirkan didunia yang fana ini ibarat sesuci kain putih yang tiada kotornya. Ianya terpulang pada seseorang individu itu bagaimana dia hendak mencorakkan kehidupannya. Individu yang mencorakkan dirinya dengan akhlak yang baik akan dipandang mulia dan tinggi, berbanding dengan individu yang mencorakkan dirinya dengan perkara yang negatif akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Bagi seseorang yang bergelar muslim terutamanya remaja, akhlak yang baik seharusnya dihiasi dengan perkara-perkara keimanan dan ketakwaan kepada Allah. Sebaliknya, kebanyakkan muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Tidak dapat dinafikan juga kesan gejala sosial ini akan memberikan kesan yang mendalam dalam diri seseorang itu.
                Secara keseluruhannya dapatlah dikatakan bahawa masalah sosial pada masa kini sangat berleluasa, ia bukan sahaja melibatkan golongan dewasa malah juga golongan remaja terutamanya pelajar sekolah.  salah satu masalah sosial yang dilakukan ialah kegiatan menghidu gam. Pada kebiasaannya kegiatan ini berlaku adalah disebabkan oleh beberapa faktor misalnya seperti kurangnya perhatian ibubapa, pengaruh rakan sebaya, remaja yang inginkan untuk mencuba sesuatu yang baru dan juga pengaruh keluarga.  Justeru itu mereka melakukan kegiatan tersebut khususnya kegiatan menghidu gam sehingga akhirnya boleh memberikan impak dan kesan bukan sahaja kepada diri seseorang remaja itu sendiri, malah juga kepada keluarga, pendidikan dan juga masyarakat serta negara. Oleh yang demikian, bagi menghindari perkara atau kegiatan ini dari terus berleluasa, kita atau pihak yang berkenaan hendaklah sentiasa membentuk beberapa langkah dan strategi bagi mengatasinya masalah sosial ini khususnya bagi kegiatan Menghidu gam.
Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.
” seseorang individu (remaja) mestilah memikirkan terlebih dahulu apa yang hendak dilakukan dan kesan yang bakal mereka hadapi, bak kata pepatah:
“SESAL DAHULU PENDAPATAN, SESAL KEMUDIAN TIDAK BERGUNA”


Karangan 3

Masalah sosial dalam kalangan remaja merupakan fenomena yang semakin membimbangkan kita pada hari ini. Masalah seperti penagihan dadah, salah laku pelajar, pergaulan bebas dan sebagainya semakin berleluasa dan kian meningkat. Terdapat banyak faktor yang menyebabkan berlakunya masalah sosial dalam kalangan remaja ini.
Salah satu daripanya ialah krisis keluarga yang menyebabkan kawalan sosial ke atas anak-anak diabaikan. Ibu bapa yang sering bertengkar sudah pasti tidak dapat mengasuh dan mendidik anak-anak mereka dengan baik dan sempurna. Keadaan ini bertambah buruk apabila ada dalam kalangan ibu bapa yang sibuk dengan tugas mereka di pejabat sehingga mengabaikan tanggungjawab mereka untuk mengawasi tingkah laku anak-anak mereka. Akibatnya, terdapat anak-anak yang melarikan diri daripada rumah, bergaul dengan rakan-rakan yang tidak sepatutnya  dan dari situlah bermulanya segala masalah sosial yang disebut di atas.
Di samping ibu bapa, masalah ini juga berpunca daripada pengaruh media massa. Dalam zaman teknologi yang berkembang pesat ini, para remaja mudah terdedah kepada pelbagai pengaruh yang negatif melalui internet dan banyak saluran yang laim sehingga minda mereka mudah diracuni oleh unsur-unsur yang kurang sihat. Di sampin itu, tuntutan modenisasi yang turut memberikan tekanan kepada remaja yang inginkan kebebasan untuk lepas daripada kongkongan ibu bapa dan menuntut hak individu juga memyebabkan remaja menolak autoriti ibu bapa yang mengawal tingkah laku mereka.
Masalah sosial ini juga berkait rapat dengan kemerosotan disiplin di sekolah. Disebabkan ada segelintir pihak sekolah yang tidak mengenakan hukuman yang tegas terhadap pelajar-pelajar yang melanggar disiplin, maka mereka ini akan berani untuk melakukan perbuatan yang sama. Tabiat buruk ini akan dibawa oleh mereka apabila meninggalkan bangku persekolahan kelak. Hal ini sudah tentu akan memberikan persepsi yang negatif oleh masyarakat terhadap mereka dan juga menyukarkan proses kemasukan ke pendidikan tinggi serta alam pekerjaan memandangkan testimoni pelajar oleh pihak sekolah bersifat negatif.
Kesan daripada masalah sosial dalam kalangan remaja ke atas diri mereka ialah mereka akan dipandang serong dan dicemuh oleh masyarakat sekeliling. Sebaliknya, kebanyankkan remaja muslim pada hari ini tidak mengikut ajaran islam yang sebenarnya, sebaliknya memalukan agama, bangsa dan Negara. Selain itu, kesan kepada keluarga ialah institusi kekeluargaan akan runtuh dan hilangnya kebahagian dan keharmonian. Kemudian, kesan kepada masyarakat ialah,  masyarakat di negara ini akan menjadi porak-peranda, berpecah-belah dan tidak bersatu-padu. Hal ini akan berlakunya  pergaduhan dalam masyarakat. Isu-isu perkauman akan wujud seandainya pergaduhan ini melibatkan antara dua kaum. Sekaligus kadar jenayah dalam kalangan masyarakat juga akan meningkat yang mana hal ini disebabkan oleh kadar keruntuhan akhlak di kalangan remaja semakin meningkat. Akhir sekali, kesan kepada Negara ialah negara akan kehilangan pelapis generasi kepimpinan pada masa hadapan. Selain itu, kadar jenayah dalam negara juga akan meningkat sejajar dengan peningkatan gejala sosial ia sekaligus meningkatkan kos perbelajaan kerajaan untuk mengurangkan kadar jenayah.
Antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan masalah ini ialah ibu bapa mestilah memantau dan mengambil berat dengan setiap aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak. Hal ini demikian kerana pada masa ini ibu bapa lebih banyak mementingkan kerjaya dan wang berbanding meluangkan waktu bersama-sama anak-anak di rumah bak kata pepatah ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan’. Lantaran itu, anak-anak akan mudah untuk melakukan perkara-perkara yang tidak baik. Selagi ibu bapa kurang memberikan perhatian kepada anak-anak, selagi itulah perkara ini tidak boleh diselesaikan.
   Selain itu, setiap individu mestilah pandai dalam memilih rakan. Hal ini demikian kerana remaja pada masa ini lebih banyak membazirkan waktu mereka bersama-sama rakan-rakan sebaya hanya untuk menginginkan kebebasan. Implikasinya, remaja-remaja akan terjerumus dalam melakukan aktiviti yang tidak sihat. Tamsilnya, mereka akan mengikut kumpulan-kumpulan gangster dan sebagainya. Jika perkara sebegini masih berleluasa maka kes-kes seperti ini tidak akan berkurangan.
   Di samping itu, pihak kaunselor sekolah juga perlulah mengambil inisiatif dalam membendung masalah ini dengan cara mengadakan program yang berkaitan dengan masalah pelajar di sekolah. Hal ini disebabkan kerana remaja sekarang lebih suka membuang masa dengan melakukan perkara-perkara yang tidak berfaedah berbanding menyertai program yang memberi keinsafan dan pengajaran. Dengan ini, pelajar yang bermasalah akan berminat untuk menyertai program yang diadakan ini. Sebagai contoh, guru kaunselor mestilah dapat menarik minat pelajar-pelajar tersebut dengan cara berjumpa dan memberi nasihat kepada pelajar itu. Dengan adanya cara sebegini, remaja-remaja akan berubah dan insaf jika mengikuti program tersebut.
   Konklusinya,para remaja mestilah mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah sosial.Selain itu, masyarakat juga mestilah prihatin terhadap setiap aktiviti yang dilakukan oleh remaja. Sekiranya perkara ini diambil berat, gejala ini dapat diatasi dengan mudah. Jelaslah bahawa peranan dan tanggungjawab semua pihak sangat penting bagi mengurangkan berlakunya gejala gangsterisme bak kata peribahasa ‘tepuk sebelah tangan tidak berbunyi’.


Karangan 4

Masalah gejala sosial semakin meruncing di negara kita sejak akhir-akhir ini. Dalam surat khabar sering dipaparkan berita tentang golongan remaja yang terlibat dengan gejala sosial ini. Gejala sosial dapat ditakrifkan sebagai satu kemelut sosial dan kekeliruan yang timbul dalam kalangan remaja akibat daripada perkembangan sosial, ekonomi dan politik yang pesat di negara ini. Contoh gejala sosial yang berlaku ialah ponteng sekolah, remaja lari dari rumah, penagihan najis dadah, vandalisme gengsterisme dan melepak. Masalah gejala sosial ini telah menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pemimpin sehingga menimbulkan kebimbangan tentang masa depan para remaja. Menurut Hujatul Islam, Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya’ Ulumuddin, sekiranya kita ingin melihat masa depan negara, maka lihatlah pada diri remajanya. Seandainya baik diri remaja maka baiklah masa depan negara. Sebaliknya, buruk diri remaja maka hancurlah masa depan sesebuah negara. Persoalannya, apakah punca-punca yang menyebabkan gejala sosial ini dan apakah cadangan-cadangan untuk menangani gejala sosial ini?
            Salah satu punca yang menyebabkan gejala sosial ialah ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya dan urusan seharian. Hal ini disebabkan oleh ibu bapa tidak dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap rumah tangga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa dirinya kurang diambil berat dan kurang diberi perhatian oleh kedua-dua ibu bapanya. Sebagai contoh, ibu bapa tidak mempunyai masa untuk bertanya masalah anak-anak sama ada di sekolah ataupun di rumah. Apa yang menyedihkan, terdapat ibu bapa yang tidak bekesempatan langsung untuk berbual-bual mesra dengan anak kerana semasa keluar untuk bekerja terlalu awal dan apabila balik dari kerja, hari sudah malam dan ada kemungkinan anak-anak telah memasuki untuk tidur. Ibu bapa mungkin bertembung sebentar semasa bersarapan. Keadaan ibu bapa yang sibuk boleh mewujudkan kerenggangan antara ibu bapa dengan anak-anak kerana anak-anak tidak mendapat sepenuh belaian kasih sayang daripada ibu bapa. Menurut pakar psikologi, remaja yang tidak mendapat belaian kasih sayang daripada ibu bapa mudah terlibat dalam masalah gejala sosial seperti ponteng sekolah, melepak dan menonton video lucah. Jelasnya anak-anak berbuat demikian untuk mendapatkan perhatian ibu bapa.
            Selain itu, masalah gejala sosial berlaku kerana ibu bapa tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak. Hal ini berlaku disebabkan oleh ibu bapa tidak mengambil berat tentang didikan agama terhadap anak-anak. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mengharapkan pihak lain terutamanya pihak sekolah dan guru memberikan didikan agama kepada mereka. Pengabaian pendidikan agama akan menyebabkan remaja tidak mempunyai asas panduan hidup dengan kukuh. Sebagai contoh, remaja mungkin hidup dalam keadaan terumbang-ambing. Mereka tidak dapat menilai baik buruk sesuatu perkara yang dilakukan oleh mereka. Remaja  juga sanggup melakukan apa-apa  sahaja dan mudah terpengaruh dengan situasi yang kurang sihat. Kecetekan ilmu agama ini menyebabkan remaja kurang kesedaran  dan keinsafan diri sehingga menyebabkan  mereka mudah terjerumus dalam gejala sosial. Jelasnya, ibu bapa yang tidak memberikan didikan agama yang sempurna kepada anak-anak turut menyumbang berlakunya masalah gejala sosial.
Di samping itu, ibu bapa yang sering bergaduh dan bertengkar di hadapan anak-anak turut menyumbang kepada kepincangan institusi keluarga sehingga menyebabkan gejala sosial dalam kalangan remaja. Ibu bapa yang sering bergaduh di hadapan anak-anak boleh menyebabkan anak-anak berasa bosan dan menghadapi tekanan di rumah. Rumah bagi anak bagaikan neraka kerana anak-anak tidak dapat menikmati kedamaian atau ketenangan di rumah. Anak-anak akan menganggap ibu bapa tidak lagi mengambil berat  tentang keadaan diri mereka. Suasana ketegangan seperti ini menyebabkan wujudnya kerenggangan hubungan antara ibu bapa dengan anak-anak. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kedua-dua ibu bapa bercerai-berai. Apatah lagi sekiranya, ibu bapa tersebut telah berkahwin lain dan telah mempunyai anak dengan pasangan lain. Anak-anak hasil perkahwinan yang pertama ini akan menjadi mangsanya. Mereka kehilangan kasih sayang ibu bapa dan hidup tanpa belaian kasih sayang seorang ayah atau ibu. Keadaan inj boleh menyebabkan jiwa anak-anak memberontak dan sebagai jalan keluar, anak-anak  mungkin mencari seseorang untuk meluahkan perasaan dan melepaskan tekanan yang dihadapinya. Sebagai contoh anak-anak yang kehausan kasih sayang daripada ibu bapa ini akan mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak baik. Keadaan ini boleh membawa anak-anak atau remaja terjerumus dalam kancah gejala sosial. Tegasnya, kehidupan rumah tangga yang tidak aman, sering bergaduh dan  berpecah-belah turut menyebabkan anak-anak terlibat dalam masalah gejala sosial.
            Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan faktor yang turut mempengaruhi remaja terlibat dalam masalah gejala sosial. Ibu bapa yang terlalu sibuk dengan kerjaya biasanya tidak ada tumpuan terhadap keluarga. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa kesunyian kerana tidak ada tempat untuk mengadu atau menceritakan masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh sebab itu, anak-anak akan mencari seseorang teman atau rakan sebaya untuk menceritakan masalah mereka. Remaja yang tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa dan tidak mendapat asas didikan agama akan lebih mudah terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya. Menurut pakar psikologi, anak-anak remaja lebih mudah meniru, mencontohi dan terikut-ikut dengan sikap rakan sebaya kerana mereka mempunyai nilai, sikap, identiti dan perasaan yang hampir sama. Kumpulan rakan sebaya ini biasanya mempunyai prinsip dan setiap ahli kumpulan akan akur dan patuh kepada kumpulan tersebut. Kebanyakan remaja berasa bimbang kerana disingkirkan daripada kumpulan rakan sebaya. Oleh sebab itu, remaja sanggup melakukan apa-apa sahaja kehendak anggota kumpulan rakan sebaya. Sebagai contoh, seandainya rakan sebaya mereka melepak atau ponteng sekolah, remaja tersebut sudah pasti mencontohi kelakuan tersebut. Dalam hal ini, nasihat ibu bapa tidak akan ambil peduli. Sekiranya, ibu bapa memarahi mereka, remaja ini sanggup lari dari rumah mengikuti rakan sebaya mereka. Jelasnya pengaruh rakan sebaya yang tidak baik turut menjerumuskan remaja dalam masalah gejala sosial.
            Untuk menangani masalah gejala sosial ini, ibu bapa perlulah memberikan sepenuh perhatian dan tumpuan terhadap rumah tangga dan anak-anak. Ibu bapa perlulah memberikan kasih sayang dan mengambil berat tentang anak-anak. Ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan pihak sekolah untuk menanyakan perkembangan diri anak-anak dan pelajaran mereka di sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlu mewujudkan suasana rumah tangga yang aman damai agar anak-anak dapat menyatakan “rumahku syurgaku”. Ibu bapa juga perlulah mengelakkan pergaduhan di hadapan anak-anak supaya anak-anak akan menghormati mereka. Ibu bapa juga perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak agar anak-anak dapat mencontohi kelakuan ibu bapa mereka. Bak kata pepatah “ bagaimana acuan, begitulah kuihnya”. Apabila wujud kasih sayang terhadap anak-anak,anak-anak akan berasa diri mereka dihargai dan diambil berat. Ibu bapa yang berjaya memahami jiwa anak-anak dan ditambah pula dengan kemahiran keibubapaan mampu wujudnya sebuah rumah tangga yang bahagia. Suasana ketenangan dan dilimpahi kasih sayang dapat menjadi tarikan kepada anak-anak agar tidak terjerumuskan diri dalam gejala sosial atau terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat.
            Di samping itu, ibu bapa juga perlulah memberi didikan agama yang secukupnya kepada anak-anak sejak kecil. Bak kata pepatah “ melentur buluh biarlah dari rebungnya” dan “ asas pendidikan bermula dari rumah”. Anak-anak ibaratkan seperti sehelai kain putih dan ibu bapalah yang mencorakkan warna pada kain putih tersebut. Oleh sebab itu, ibu bapa perlulah memberi didikan agama kepada anak-anak agar anak-anak dapat menghayati ajaran agama dan nilai murni dalam kehidupan. Didikan agama yang sempurna mampu membentuk  keperibadian dan budi pekerti yang mulia kepada anak-anak. Sebagai contoh, anak-anak akan sentiasa menyedari akan tanggungjawab mereka sebagai seorang anak kerana mereka memiliki keinsafan dan kesedaran diri yang tinggi. Anak-anak akan sentiasa bertutur dengan cara lemah lembut dan penuh hormat terhadap ibu bapa dan orang yang lebih tua. Anak-anak yang ada asas didikan agama sentiasa akan menjaga tindak- laku dan tidak akan meninggalkan solat dan mereka akan membesar sebagai seorang remaja yang mempunyai pinsip dan jati diri serta tidak akan terpengaruh oleh ajakan rakan sebaya yang tidak sihat. Jelasnya, didikan agama yang sempurna mampu melahirkan anak-anak yang keperibadian mulia dan mereka akan berasa malu sekiranya mereka melakukan sesuatu yang boleh mencontengkan arang ke arah muka ibu bapa.
            Seterusnya, ibu bapa juga perlulah mengambil berat persahabatan anak-anak mereka dengan rakan sebaya. Hal ini demikian kerana ibu bapa boleh mengawal disiplin mereka. Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak  bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia. Dalam hal ini, ibu bapa perlu mengetahui tujuan dan sebab-sebab anak-anak mereka keluar rumah dan balik lewat ke rumah. Ibu bapa juga jangan terlalu memberi kebebasan yang keterlaluan dalam bergaulan untuk memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan anak-anak yang bermasalah di sekolah atau di luar sekolah. Selain itu, ibu bapa juga perlulah selalu berhubung dengan guru-guru kelas atau guru pelajaran anak-anak mereka di sekolah untuk mengetahui tingkah laku dan prestasi akademik mereka di sekolah. Menurut seorang Ahli Fikir Islam, Ibn Sina, “hendaklah setiap ibu bapa meletakkan anak-anak mereka dalam kalangan anak-anak kelakuannya yang berakhlak mulia”. Anak-anak yang sentiasa dikawal oleh disiplinnya dan pergaulannya oleh ibu bapa sejak kecil, anak-anak ini akan membesar dalam suasana yang baik dan berbudi pekerti mulia.
            Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa masalah gejala sosial memang merupakan salah satu masalah yang meruncing dan perlu ditangani segera oleh semua pihak terutamanya ibu bapa. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anaknya. Saya berharap anak-anak juga perlulah mempunyai kesedaran dan keinsafan serta tahu menghargai segala pengorbanan yang telah dilakukan oleh ibu bapa mereka. Tegasnya, masalah gejala sosial perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama baik negara di persada masyarakat. 


1 comment:

  1. Casino Tycoon, Nevada - Mapyro
    Information and reviews for 제주 출장마사지 Casino Tycoon, 여주 출장안마 Nevada, 문경 출장안마 including real-time driving directions, street views and driving directions 충주 출장샵 to Casino type: Land-basedOpening date: 진주 출장마사지 December 7, 1973

    ReplyDelete