Sunday 9 July 2017

Kata Kerja Transitif Dan Tak Transitif

Kata Kerja Transitif

a. Kata Kerja Transitif ialah kata kerja yang tidak boleh berdiri sendiri. Kata kerja ini memerlukan ‘objek’ di hadapannya sebagai pelengkap.
Contoh : Ayah saya menjalankan tugas. (‘tugas’ ialah pelengkap)

b. Imbuhan Kata Kerja Transitif

-perkataan yang berimbuhan ‘meN….kan’ : menjalankan, menceritakan
-perkataan yang berimbuhan ‘meN….i’ : menjalani, mengubati
-perkataan yang berimbuhan ‘memper….kan’ : memperjuangkan, memperkayakan
-perkataan yang berimbuhan ‘memper….i’ : memperingati, memperbaiki
-perkataan yang berimbuhan ‘ber….kan’ : bertemankan, bersuamikan
-imbuhan ‘meN…’ yang diikuti kata nama : menyanyi lagu, menyapu sampah


Kata Kerja Tak Transitif

a. Kata Kerja Tak Transitif ialah kata kerja yang boleh berdiri tanpa pelengkap. Jika ada perkataan lain di hadapannya, perkataan atau frasa itu dipanggil penerang.

b. Contoh :
i. Ayah berjalan di tepi pantai. (boleh berhenti selepas ‘berjalan’)
ii. Adik berlari ke hujung jalan. (boleh berhenti selepas ‘berlari’)

c. Imbuhan Bagi Kata Kerja Tak Transitif
-perkataan yang berimbuhan ‘ber…..’ : berjalan, bercerita, bekerja
-perkataan yang berimbuhan ‘ter….’ : terangkat, terbawa, tercapai
-perkataan yang berimbuhan ‘di…’ : diangkat, ditembak, diambil
-perkataan yang berimbuhan ‘di ….kan/i : dijalankan, dihadiahi, dihadiahi
-perkataan yang berimbuhan ‘diper…kan/i : diperdayakan, dipersalahi
-imbuhan ‘meN….’ yang diikuti ‘tempat’ : menyanyi di pentas (tempat)

Saturday 1 July 2017

Bahasa Melayu Terbahagi kepada 3 iaitu :-

*Bahasa Melayu Kuno
*Bahasa Melayu Klasik
*Bahasa Melayu Moden

Bahasa Melayu Kuno :-


Ciri-ciri Bahasa Melayu Kuno

  • Penuh dengan kata-kata pinjaman Sanskrit seperti tatkala, air dan sebagainya
  • Bunyi b ialah w dalam Bahasa Melayu Kuno. Contohnya bulan ialah wulan
  • Bunyi e pepet tidak wujud. Contoh: dengan - dngan atau dangan
  • Awalan ber- ialah mar- dalam Bahasa Melayu Kuno (contoh: berlepas-marlapas)
  • Awalan di- ialah ni- dalam Bahasa Melayu Kuno (Contoh: diperbuat - niparvuat)
  • Ada bunyi konsonan yang diaspirasikan seperti bh, th, ph, dh, kh, h (Contoh: sukhatshitta)
  • Huruf h hilang dalam bahasa moden (Contoh: semua - samuha; saya - sahaya)

Bukti-Bukti Bahasa Melayu Kuno

  • Batu Bersurat Kedukan Bukit (Palembang), bertarikh 605  Tahun Saka, bersamaan dengan 683 M. Tulisan yang terdapat pada Batu Bersurat ini menggunakan huruf Palava.
  • Batu Bersurat Talang Tuwo (Palembang), bertarikh 606 Tahun Saka, bersamaan dengan 684 M. Batu
  • Batu Bersurat Kota Kapur (Bangka), bertarikh 608 Tahun Saka, bersamaan dengan 686 M.
  • Batu Bersurat Karang Brahi (Jambi), bertarikh 614 Tahun Saka, bersamaan dengan 692 M.
  • Batu bersurat di Gandasuli, Jawa Tengah (832 M) ditulis dalam huruf Nagiri.
  • Batu Bersurat Pagar Ruyung (1356 M)

Bahasa Melayu Klasik:-

Bahasa Melayu Kuno digantikan dengan Bahasa Melayu Klasik. Peralihan ini dikaitkan dengan kedatangan agama Islam yang ke Asia Tenggara pada abad ke-13.


Ciri-Ciri Bahasa Melayu Klasik

  • Ayat yang panjang, berulang, dan berbelit-belit.
  • Mempunyai banyak ayat pasif dan songsang
  • Menggunakan bahasa istana
  • Menggunakan kosa kata klasik spt. ratna mutu manikam, edan kesmaran (mabuk asmara), sahaya, masyghul (bersedih)
  • Banyak menggunakan perdu perkataan (kata pangkal ayat) spt. sebermula, alkisah, hatta, adapun.
  • Banyak menggunakan partikel pun dan lah
  • Menggunakan aksara jawi, iaitu aksara yang dipinjam daripada bahasa Arab yang telah ditambah dengan beberapa huruf tambahan.
  • Telah menerima pelbagai jenis kosa kata Arab dan Parsi dalam pelbagai bidang bahasa seperti alam bidang ilmu keagamaan, undang-undang, kesusasteraan, pemerintahan dan pentadbiran, perubatan, falsafah, tasawuf dan kata-kata umum.
  • Frasa dan ayat pengaruh Arab terutama dalam kitab-kitab klasik Melayu seperti frasa ketahuilah olehmu (dari terjemahan I’lamL, maka kemudian daripada itu (dari Amma ba’du); atau pada ayat sunat berbuka atas tamar dan lain-lain. Frasa dan ayat bentuk ini wujud hasil daripada terjemahan harfiah daripada teks-teks bahasa Arab.
  • Unsur-unsur falsafah Islam wujud dalam banyak tulisan Melayu spt. dalam bid ilmu Kalam, Tasawuf, ilmu Aqa’id al-Iman dan lain-lain. Ini berbeza dengan bahasa Melayu zaman kuno atau Hindu.

Bukti-Bukti Bahasa Melayu Klasik
  • Batu bersurat di Kuala Berang, Terengganu (22 February 1303) ditulis dalam tulisan Jawi. Ini membuktikan tulisan Arab telah telah digunakan dalam bahasa Melayu pada abad itu.
  • Batu bersurat di Pagar Ruyung, Minangkabau (1356) ditulis dalam huruf India mengandungi prosa melayu kuno dan beberapa baris sajakm Sanskrit. Bahasanya berbeza sedikit daripada bahasa batu bersurat abad ke-7.
  • Batu bersurat di Minye Tujuh, Acheh (1380) masih memakai abjad India buat pertama kalinya terdapat penggunaan kata-kata Arab seperti kalimat nabi, Allah dan rahmat



Bahasa Melayu Moden:-


Bahasa Melayu (Jawi: بهاس ملايو) ialah sejenis bahasa Melayu-Polinesia di bawah keluarga bahasa Austronesia yang telah digunakan di wilayah Malaysia, Indonesia, dan persekitarannya sejak melebihi 1,000 tahun lalu. Walaupun asal usul bangsa Melayu (dalam pengertian yang khusus) yang paling asal belum diketahui secara pasti tetapi pertumbuhan bahasa Melayu dapatlah dikatakan berasal dari Sumatera Selatan di sekitar Jambi dan Palembang. Bahasa Melayu juga diajar di universiti-universiti di United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Belanda, China, Jerman, New Zealand dan beberapa tempat yang lain.
Bahasa Melayu Piawai ialah Bahasa Melayu Riau, Indonesia, seperti yang dipersetujui oleh Indonesia, Malaysia, dan Brunei. Bahasa Melayu Riau dianggap tempat kelahiran bahasa Melayu. Di Malaysia, bahasa Melayu mengalami perubahan nama beberapa kali. Pada awal 1970-an, Bahasa Melayu dinamakan Bahasa Malaysia atas sebab politik. Namun sejak akhir-akhir ini, nama "Bahasa Melayu" digunakan semula. Bermula tahun 2007, bahasa kebangsaan Malaysia dinamakan kembali kepada Bahasa Malaysia sebagai simbol bahawa bahasa ini ialah bahasa untuk semua dan tidak mengira kaum. Namun begitu, menurut Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia, menyebut bahawa: "Bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu". Tiada pertukaran nama bahasa Melayu ke bahasa Malaysia terjadi.
Di Indonesia, bahasa Melayu juga dikenali sebagai Bahasa Indonesia atas sebab persatuan dan kesatuan bangsa Indonesia iaitu Sumpah Pemuda tahun 1928. Di Singapura dan Brunei, Bahasa Melayu tidak mengalami sebarang perubahan nama.
Bahasa Melayu mempunyai banyak dialek dan setiap dialek mempunyai perbezaan ketara dari segi sebutan dan kosa kata. Misalnya,Bahasa Melayu Riau-Johor berbeza dialek dengan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu. Melayu Riau-Johor menggunakan dialek "e" sedangkan Bahasa Melayu Palembang, Jambi, dan Bengkulu menggunakan dialek "o". Selain itu, bahasa yang digunakan oleh masyarakat peranakan atau Cina Selat (campuran pendatang Cina dan penduduk asal) merupakan campuran antara Bahasa Melayu dan dialek Hokkien. Bahasa ini dahulunya banyak digunakan di negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walau bagaimanapun, kini kaum peranakan lebih gemar berbahasa Hokkien atau Inggeris. Bahasa Melayu merupakan bahasa aglutinatif, bermaksud makna perkataan boleh diubah dengan menambah imbuhan tertentu. Umumnya, kata dasar (atau kata akar) terdiri daripada kata kerja.
Penggunaan Bahasa Melayu di negara-negara ini berbeza bergantung kepada sejarah dan budaya. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi di Malaysia pada 1968, tetapi Bahasa Inggeris masih digunakan dengan luas terutama sekali di kalangan masyarakat Cina dan India, sama seperti di Brunei. Berbeza di Indonesia, Bahasa Indonesia berjaya menjadi bahasa perantaraan utama atau lingua francauntuk rakyatnya yang berbilang kaum kerana usaha gigih kerajaan Indonesia dalam menggalakkan penggunaan Bahasa Indonesia selain Bahasa Belanda yang tidak lagi digunakan. Di Timor Leste, sekarang terlepas dari Indonesia menjadi negara Timor Leste, Bahasa Indonesia diterima sebagai "bahasa berkerja". Di Singapura, Bahasa Melayu dikekalkan statusnya sebagai bahasa kebangsaan walaupun Singapura mempunyai empat bahasa rasmi (iaitu Bahasa Inggeris, Cina, India, dan Melayu.) Di selatan Thailand, bahasa Melayu digunakan oleh orang-orang dari Kesultanan Melayu Patani (orang Melayu Pattani), tetapi tidak memperolehi sebarang pengiktirafan daripada kerajaan.
Pada awal tahun 2004, Dewan Bahasa dan Pustaka dan MABBIM mencadangkan Bahasa Melayu dijadikan bahasa rasmi ASEAN memandangkan lebih separuh jumlah penduduk ASEAN mampu bertutur dalam Bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Marilah Sama-Sama Kita Martabatkan Bahasa Melayu