Sunday, 17 September 2017

Karangan Pengganguran

Karangan 1

Di dalam bumi yang fana ini, kemelut sosial terutama sekali di Singapura semakin bermaharajalela mutakhir ini. Cabaran globalisasi yang serba menghimpit telah menyebabkan pengangguran berlaku. Ramai yang mencari jalan lain semata-mata untuk mendapatkan wang dengan masa yang cepat. Pengangguran juga telah menyumbang kepada masalah sosial dan kes jenayah yang semakin genting. Perdana Menteri Singapura telah menasihati rakyat Singapura agar berfikiran terbuka dan jangan terlalu memilih perkerjaan kerana kegawatan ekonomi dijangka tidak akan berakhir dengan masa yang cepat. Pada pendapat saya pula, memang betul kata-kata perdana mentari. Jika kita memilih pekerjaan, tentunya kita tidak akan mendapat pekerjaan tersebut dan ini akan menyumbang kepada masalah pengangguran yang boleh didefinasikan sebagai masa semasa ramai yang tidak mempunyai pekerjaan.
Saya bersetuju dengan pernyataan di atas tetapi tidak seratus peratus. Memang tidak dinafikan bahawa pengangguran berpunca daripada sikap rakyat Singapura yang terlalu memilih pekerjaan tetapi ia masih boleh diperdebatkan lagi. Sikap rakyat Singapura yang terlalu memilih telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat secara drastik. Ramai yang mahu pekerjaan yang berkolar biru dan bergaji lumayan. Tetapi semua ini sukar didapati terutama sekali apabila kegawatan ekonomi sedang berlaku. Rakyat Singapura tidak seharusnya bersifat cerewet. Sikap terlalu memilih pekerjaan bukan seluruh punca pengangguran. Memang ia punca utama bagi masalah ini tetapi terdapat juga punca-punca lain.
Punca yang seterusnya ialah bilangan rakyat Singapura yang semakin meningkat. Dengan perkara ini berlaku, lebih ramai rakyat Singapeura, lebih sedikitlah peluang pekerjaan yang ada. Lebih ramai rakyat Singapura juga bermakna orang yang lebih pandai, rajin dan efektif juga turut meningkat. Lantas, peluang pekerjaan yang ada tentunya akan diberi kepada orang yang kemampuan, kebolehan dan kelayakkan tinggi. Punca ini akan membuat masalah pengangguran lebih mencabar dan berpanjangan. Ini bermakna, punca ini amat serius juga dibandingkan denga punca utama iaitu, sikap memilih pekerjaan kerana semakin ramai yang menjadi pandai tetapi ekonomi akan mengambil yang terbaik sahaja dan meninggalkan yang lain, tidak mempunyai pekerjaan.
Punca yang ketiga ialah kemelesetan ekonomi. Kemelesetan ekonomi telah menyebabkan gaji terpotong, kelayakan pekerja dipertinggikan dan semua ini menyumbang kepada masalah pengangguran. Kemelesetan ekonomi tidak dijangkakan untuk berakhir begitu cepat. Justeru itulah rakyat Singapura disuruh bersikap terbuka. Tetapi rakyat Singapura ramai yang keras kepala dan enggan berbuat demikian. Bersikap terbuka bukan sahaja contoh langkah yang boleh digunakan untuk mengurangkan masalah pengangguran. Terdapat banyak lagi langkah-langkah yang boleh dijalankan. Ayuh kita menganalisa langkah-langkah untuk mengurangkan pengangguran.
Langkah utama adalah untuk bersikap terbuka. Dengan bersikap terbuka, yang bermakna menerima pekerjaan yang bergaji rendah dan menerima pekerjaan itu walaupun ia bukan pekerjaan yang berkolar biru, rakyat Singapura sekurang-kurangnya akan mendapatkan pekerjaan, lantas mendapatkan wang untuk membayar atau membeli barang keperluan seharian. Ia lebih bagus dari tidak mempunyai sembarang pekerjaan dan akan hidup menderita selepas itu. Rakyat Singapura pun boleh berkerja sambilan juga, kami dapat mengalami cara berkerja yang lain dan dapat menambah pengetahuan kita juga.
Langkah yang seterusnya ialah mempelbagaikan sektor ekonomi. Dengan mempelbagaikan sektor ekonomi, lebih banyak peluang pekerjaan yang boleh didapati. Dengan cara ini juga keberatan seseorang pekerja akan dikurangkan kerana akan ditugaskan oleh orang lain. Cara ini juga akan membawa kebaikan kepada eknomi, orang yang berkerja dan orang yang akan mendapat atau mencari pekerjaan. Cara ini boleh mengurangkan masalah pengangguran secara mendadak. Ekonomi seharusnya memikirkan tentang cara penyelesaian ini kerana ia akan membawa kebaikan kepada semua orang.
Langkah yang terakhir ialah untuk meningkatkan kebolehan dan kelayakkan. Mereka boleh meningkatkan kebolehan dan kelayakkan dengan cara menghadiri kursus, melanjutkan pelajaran ke tahap yang lebih tinggi dan sebagainya. Cara ini akan membolehkan rakyat Singapura untuk memiliki peluang yang lebih tinggi untuk mendapatkan pekerjaan kerana banyak ekonomi, terutama sekali masa kini apabila Singapura sedang menghadapi kemelesetan ekonomi, akan mengambil calon pekerjaan yang tentunya terbaik, dan ada kelayakkan yang tinggi terutama sekali pelajaran yang tinggi. Dengan cara ini, setiap individu harus berkerja keras sendiri untuk mencapai semua ini kerana tidak ada orang laing yang boleh membantu kati memiliki sesuatu ilmu kecuali diri kita sendiri.
Lantas, saya bersetuju bahawa pengangguran berpunca daripda sikap rakyat Singapura yang terlalu memilih tetapi tidak seratus peratus kerana terdapat punca-punca yang lain yang menyumbang ke masalah tersebut dan terdapat langkah-langkah yang boleh diambil oleh rakyat Singapura tetapi ramai yang tidak mahu mencuba untuk memperbaiki keadaan dengan cuba berfikiran terbuka dan melakukan sesuatu yang lebih untuk mendapatkan pekerjaan.

Karangan 2

rencana
ARKIB : 08/10/2014
Langkah tingkat kualiti graduan tempatan
Oleh NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
KEPUTUSAN kerajaan mewajibkan setiap pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) lulus kursus bahasa Inggeris sebelum menamatkan pengajian di universiti masing-masing wajar dilihat dalam konteks positif demi keperluan tenaga kerja profesional dalam memacu kecemerlangan dan kemajuan negara kita. Langkah ini dilihat mampu melahirkan graduan tempatan yang berkuali­ti tinggi terutamanya dari segi kemahiran dan kemampuan berkomunikasi dengan baik dalam bahasa antarabangsa itu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyi­d­din Yassin yang juga Menteri Pendidikan ketika mengumumkan keputusan itu berkata, dasar baharu yang akan dilaksanakan berkenaan telah dipersetujui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak demi melahirkan graduan bertaraf antarabangsa dan mampu berkomunikasi secara berkesan. Tambahnya, dasar berkenaan seharusnya tidak menjadi beban kepada pelajar IPTA kerana sistem pendidikan di Malaysia telah menerapkan pem­belajaran bahasa Inggeris sejak sekolah rendah sehinggalah ke tingkatan enam dan peringkat matrikulasi.
Isu pengangguran dan kegagalan graduan tempatan terutamanya Melayu mendapat peluang pekerjaan yang baik di sektor swasta sering menjadi topik perbualan hangat dalam. Pelbagai faktor digariskan sebagai punca perkara ini terjadi antaranya kelemahan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Kita juga sering mendengar maklum balas dan keluhan daripada pihak majikan terutamanya sektor swasta betapa gradu­an tempatan terutamanya aduan graduan Melayu masih lemah dalam kemahiran berbahasa Inggeris yang mengakibatkan mereka gagal bersaing dalam perebutan jawatan kosong yang ditawarkan.
Ini ditambah pula dengan senario saban tahun bilangan graduan yang dihasilkan oleh 20 IPTA tempatan semakin bertambah di sam­ping graduan dari IPT swasta. Akibatnya persaingan untuk sesuatu jawatan di sektor awam mahupun swasta semakin rancak dan hebat. Jika keadaan ini berterusan maka jumlah graduan menganggur juga dikhuatiri terus meningkat.
Kajian demi kajian oleh pelbagai agensi berkaitan kualiti graduan IPTA membuktikan masih ramai yang lemah bahasa Inggeris walaupun mereka mempelajarinya sejak di sekolah rendah lagi. Ia juga sering diangkat sebagai antara punca kegagalan graduan memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian masing-masing.
Menurut kajian Jobstreet.Com antara masalah utama graduan ialah lemah dalam berbahasa Inggeris selain memiliki personaliti serta sikap yang kurang baik, tidak ada kemahir­an yang diperlukan oleh majikan serta tidak mahir menyelesaikan sesuatu masalah. Jelas bahasa Inggeris menjadi penghalang utama menambat hati majikan terutamanya ketika sesi penilaian dan temuduga.
Kita perlu terima hakikat bahawa graduan tempatan tidak boleh lari daripada keperluan untuk menguasai bahasa ini demi masa depan mereka dan negara.
Justeru pelajar IPTA perlu menyambut baik keputusan kerajaan ini dan tidak melihatnya sebagai satu bebanan baharu kepada mereka. Penulis yang berada dalam persekitar­an kampus mengakui betapa pelajar terutamanya Melayu masih terlalu lemah dalam aspek berbahasa Inggeris sekali gus menyebabkan tahap keyakinan mereka merudum berbanding pelajar yang fasih dalam bahasa itu. Maka pelajar Melayu wajar menyahut cabaran dan mengambil peluang ini untuk menguasai bahasa antarabangsa ini secara serius supaya dapat terus bersaing bukan hanya di peringkat nasional bahkan antarabangsa.
Keputusan kerajaan ini patut membuka mata dan minda mereka agar segera meng­ubah sikap dan persepsi terhadap bahasa Inggeris. Buang jauh-jauh sikap malu yang selama ini menjadi penghalang untuk berkomunikasi dalam bahasa Inggeris baik di dewan kuliah mahupun dengan rakan-rakan.
Pada masa sama, masyarakat terutama­nya ibu bapa perlu lebih prihatin tentang nasib masa depan anak-anak mereka de­ngan menyokong keputusan kerajaan ini sepenuhnya. Hal ini kerana dasar baharu ini bakal melahirkan graduan berkualiti yang diperlukan oleh majikan dan negara kelak.
Kita juga yakin keputusan ini tidak akan mengganggu mahupun mengancam usaha untuk terus memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Malah ianya selari dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuhkan Bahasa lnggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan sebelum ini.
Maka segala rasa curiga perlu dielakkan sebaliknya berilah sokongan padu kepada anak-anak kita untuk menguasai bahasa Inggeris secara serius sebelum melangkah keluar dari alam kampus.
Pelajar IPTA perlu menggunakan sepenuhnya tempoh di kampus untuk belajar dan menguasai bahasa Inggeris. Pihak IPTA pula perlu merangka silibus yang sesuai dan menarik supaya dapat membekalkan graduan tempatan dengan kemahiran komunikasi bahasa Inggeris yang berkualiti tinggi.
Walau apapun inisiatif kerajaan atau usaha pihak IPTA, kejayaan mahupun kegagalan dasar baharu ini masih bergantung kepada sikap para pelajar itu sendiri.
Sampai bila kita mahu mengamalkan budaya spoon feeding yang jelas mengikis ciri-ciri jati diri dan keyakinan pelajar?
Pelajar perlu menggunakan peluang yang disediakan ini sebaik mungkin supaya tidak menyesal di kemudian hari terutamanya setelah bergelar graduan kelak.
Sedarlah bahawa pasaran kerja pada masa depan cukup mencabar dan menuntut graduan memiliki kemahiran insaniah yang hebat.
Semoga inisiatif baru kerajaan ini dapat membantu memperkasa kualiti graduan yang dikeluarkan oleh IPTA tempatan.

PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20141008/re_06/Langkah-tingkat-kualiti-graduan-tempatan#ixzz4qCD4vQvo  © Utusan Melayu (M) Bhd

KARANGAN 3

Rencana
Ahad, 27 Mac 2016 | 7:05am
Menangani isu lambakan pekerja asing
Oleh Dr Rahmah Ismail
KESAN negatif lambakan pekerja asing lebih dominan berbanding kesan positif kepada pembangunan negara. - Foto Syaharim Abidin
KEMENTERIAN Dalam Negeri pada tahun lalu melaporkan pekerja asing berdaftar di negara ini berjumlah 2.1 juta atau 15.5 peratus daripada keseluruhan guna tenaga di Malaysia, manakala pekerja asing tanpa izin dianggarkan berjumlah melebihi tiga juta orang.
Hampir separuh pekerja asing berdaftar berasal dari Indonesia, diikuti Nepal dan Bangladesh, bakinya dari pelbagai negara seperti India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan Vietnam.
Kebanyakan mereka terdiri daripada pekerja separa mahir dan tidak mahir yang mendominasi sektor pembuatan, pertanian, pembinaan dan perkhidmatan. Pada 2015, pegawai dagang yang merupakan pekerja profesional asing tidak sampai pun 10 peratus. Kehadiran pekerja asing secara berlebihan adalah satu fenomena membimbangkan negara. Apa yang lebih membimbangkan adalah kemasukan mereka secara tidak sah yang jumlahnya mengatasi pekerja asing secara sah.
Pekerja sememangnya diperlukan dalam sesuatu proses pengeluaran kerana ia adalah input penting dan sebagai penggerak kepada input lain. Tanpa pekerja mencukupi, proses pengeluaran boleh terbantut dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, pekerja berkualiti amat diperlukan kerana mereka dikatakan lebih produktif yang akhirnya membawa kepada pertumbuhan ekonomi lebih tinggi.
Namun, persoalannya adakah pekerja asing mempunyai ciri-ciri ini dan mampu dimanfaatkan dengan sepenuhnya? Dalam erti kata lain, adakah kehadiran mereka mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi negara dan pada masa sama, tidak membawa kesan negatif kepada ekonomi dan sosial di Malaysia? Bagi menjawab persoalan ini, kita perlu melihat kepada kesan positif dan negatif daripada kemasukan dan penggajian pekerja asing.
Meringankan beban majikan dalam mendapatkan pekerja. Kehadiran pekerja asing sama ada secara sah mahupun tidak sah mampu menyelesaikan masalah majikan dalam mendapatkan pekerja ketika diperlukan. Ini boleh menjimatkan kos pencarian dan kos masa yang boleh membantutkan 'output' sesebuah operasi pengeluaran.
Menjimatkan kos pengeluaran. Pekerja asing sanggup menerima upah lebih rendah dan bekerja lebih masa. Walaupun kerajaan telah melaksanakan upah minimum, majikan masih boleh mengelak daripada membayar pekerja upah minimum ini dengan mengambil pekerja asing tidak sah. Malah pekerja asing ini sanggup menerima apa saja upah dibayar, di samping mampu memberi komitmen yang lebih tinggi berbanding dengan pekerja tempatan.
Menurut teori neoklasik, input menyumbang secara positif kepada output. Maka peningkatan dalam pengambilan pekerja asing ini menyumbang kepada bilangan guna tenaga dan meningkatkan output negara. Setiap aktiviti ekonomi memerlukan permintaan yang tinggi dan sentiasa meningkat.
Kehadiran pekerja asing meningkatkan jumlah permintaan negara kerana mereka akan berbelanja untuk keperluan keluarga. Aktiviti perbelanjaan mereka akan meningkatkan kuasa beli negara dan mendorong kepada pengeluaran yang lebih tinggi.
PENGAMBILAN buruh luar perlu dioptimum selaras dasar negara maju berpendapatan tinggi. - Foto Salhani Ibrahim
Kesan negatif
Walaupun pekerja asing mampu meningkatkan output, pertumbuhan output menjadi perlahan kerana kebanyakan mereka adalah tidak mahir. Kajian menunjukkan sumbangan positif mereka terhadap pertumbuhan output hanya daripada pekerja asing mahir dan separa mahir. Itu pun ia hanya berlaku dalam jangka panjang selepas mereka lebih berpengalaman dalam pekerjaan masing-masing.Sebahagian besar pekerja asing adalah tidak mahir dan sanggup menerima upah rendah. Ini boleh membantutkan pertumbuhan upah dan menyekat pekerja tempatan dalam proses tawar menawar upah, lebih-lebih lagi sekiranya pekerja asing itu pengganti kepada pekerja tempatan.
Kenaikan kadar upah yang tidak sejajar dengan pertumbuhan produktiviti memang pun menjadi isu penting dalam pertumbuhan ekonomi Malaysia (Bank Dunia, 2010). Malah, isu utama yang membawa kepada pelaksanaan upah minimum adalah bagi meningkatkan pertumbuhan upah sejajar dengan pertumbuhan produktiviti.
Malah, ada sektor yang mempunyai pekerja profesional kurang daripada lima peratus seperti sektor pertanian dan pembinaan (Jabatan Perangkaan 2012). Satu daripada penyumbang kepada rendahnya peratus ini adalah kehadiran pekerja asing tidak mahir yang terlalu ramai.
Walaupun kadar pengangguran di Malaysia adalah sekitar 2.8 peratus pada 2014, jumlah penganggur meningkat dan masih kelihatan besar, iaitu melebihi 410,007 pada 2014, peningkatan sebanyak 6,300 dibandingkan dengan 2010. Sebahagian besar penganggur adalah berpendidikan peringkat menengah, iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah penganggur sepanjang 2008 hingga 2014 (Kementerian Sumber Manusia 2015). Persoalannya adakah mereka ini tidak mampu memegang jawatan atau bekerja di tempat yang dikuasai pekerja asing?



KAJIAN menunjukkan sumbangan positif mereka terhadap pertumbuhan output hanya daripada pekerja asing mahir dan separa mahir. - Foto hiasan
Kesan negatif lebih dominan
Secara imbasan kesan negatif lebih dominan daripada kesan positif. Saban hari kita dikejutkan dengan pengangguran siswazah yang menggambarkan terlebih penawaran daripada yang diperlukan pasaran. Mungkin Malaysia masih memerlukan pekerja berkemahiran rendah, namun kita terlebih didik rakyat tempatan. Kemungkinan pula pekerjaan yang tersedia banyak yang berbentuk sektor pekerjaan sukar, kotor dan berbahaya (3D) tidak sanggup dilakukan oleh rakyat tempatan, walaupun mereka berpendidikan rendah dan pekerjaan itu sesuai dengan kelayakan akademik mereka. Jika kita meninjau data pasaran buruh Malaysia, kelihatan masalah ketaksepadanan agak serius. Pada satu sudut kita lihat lambakan pekerjaan tidak terisi dan di sudut lain, jumlah penganggur masih berleluasa. Malah akhir-akhir ini kita dikejutkan dengan banyak kes pembuangan kerja oleh syarikat swasta di Malaysia.
Lazimnya pekerja asing memang masih diperlukan di Malaysia. Namun persoalannya, berapa ramai dan apakah tahap mereka yang sepatutnya diambil? Dalam jangka pendek pengambilan pekerja asing tidak mahir mungkin tidak boleh dielakkan. Namun, mereka perlu dihadkan kepada sektor tertentu seperti pertanian dan pembinaan. Sektor lain perlu dibuka luas kepada pekerja tempatan terutama yang berkelulusan menengah dan layak bekerja di sektor perkhidmatan dan pembuatan.
Dalam jangka panjang kerajaan perlu mempunyai strategi tertentu dalam mengoptimumkan kehadiran pekerja asing. Malaysia menuju ke arah negara maju yang bertunjangkan teknologi tinggi dan penggenap kepadanya adalah pekerja berkemahiran tinggi. Oleh itu, selagi berlaku ledakan pekerja asing tidak mahir, selagi itu ia memberi gambaran kepada teknologi rendah yang masih mendominasi proses pengeluaran di Malaysia.
Ini memberi implikasi negatif kepada pertumbuhan output, produktiviti dan keperluan kemahiran, sekali gus memburukkan lagi masalah pengangguran siswazah dalam jangka panjang. Sektor swasta yang mendominasikan dua pertiga daripada jumlah pekerjaan di Malaysia, mempunyai tanggung jawab besar dalam mengoptimumkan pekerja asing.
Ketelusan dalam mengambil pekerja. Majikan perlu telus dalam mengambil pekerja dengan mengiklankan keperluan pekerja dan mengutamakan pekerja tempatan. Dalam hal ini campur tangan kerajaan diperlukan dalam merangka undang-undang bagi memastikan perkara ini berlaku.
Pembayaran upah yang lebih tinggi. Majikan perlu lebih bertimbang rasa dalam menawarkan upah yang lebih tinggi tanpa mengaut keuntungan berlebihan. Ini boleh menarik minat pekerja tempatan untuk menceburi pekerjaan yang kini dipenuhi pekerja asing. Berdasarkan kepada bilangan penganggur yang ramai berpendidikan menengah, adalah tidak sukar bagi mereka berkecimpung dalam pekerjaan tahap rendah yang kini dipegang oleh pekerja asing.
Perubahan minda pekerja tempatan. Dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, mereka sepatutnya mengubah minda agar tidak terlalu memilih pekerjaan. Contohnya, pekerjaan di sektor pembuatan dan perkhidmatan mampu dilakukan oleh pekerja tempatan. Pekerja asing sepatutnya dihadkan kepada pekerjaan sektor pertanian dan pembinaan yang memerlukan tenaga berat yang mungkin tidak mampu dilakukan oleh pekerja tempatan.
Komited terhadap pekerjaan. Pekerja tempatan perlu lebih komited terhadap pekerjaan seiring dengan apa yang mampu dilakukan oleh pekerja asing. Mereka perlu menghayati konsep bahawa pekerjaan adalah satu amanah yang perlu dilakukan dengan baik dan berkesan.
Pekerja tempatan perlu bijak mencari peluang pekerjaan di negara sendiri. Sudah tiba masanya rakyat tempatan mengubah minda ke arah yang lebih positif dan merebut peluang pekerjaan yang tersedia. Sebagai rumusannya, pengambilan pekerja asing diperlukan dalam memenuhi pekerjaan di sektor tertentu sahaja seperti pembinaan dan pertanian.
Namun, bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, pengambilan mereka yang tidak mahir perlu dikurangkan dan dalam masa sama, kehadiran pekerja asing tanpa izin perlu dibanteras agar ia tidak mengganggu pelaksanaan dasar kerajaan seperti upah minimum. Nisbah pekerja berkemahiran perlu ditingkatkan seiring dengan misi Malaysia mencapai negara maju menjelang 2020 yang bertunjangkan teknologi tinggi dan buruh berkemahiran tinggi.



https://www.bharian.com.my/node/137736
Penulis ialah Profesor di Pusat Pengajian Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM

KARANGAN 4

13 OKTOBER 2015
BELIA PERLU KIKIS SIKAP TERLALU PILIH PEKERJAAN TANGANI PENGANGGURAN
 7/10/2015 KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) –
Golongan belia, terutamanya lepasan universiti perlu mengikis sikap terlalu memilih pekerjaan sekiranya mereka tidak mahu terus bergelar penganggur. Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata kadar pengangguran negara sebanyak 3.2 peratus adalah tidak begitu membimbangkan, namun isunya kadar itu kebanyakannya merangkumi golongan belia. "Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah untuk membantu mereka memperoleh pekerjaan, namun sikap itulah yang menyebabkan generasi muda ini menganggur meskipun berkelayakan. "Contohnya, mereka mahukan gaji lumayan tetapi kerja yang ringan, tidak sanggup untuk bekerja dari bawah untuk menimba pengalaman dan hanya menumpukan perhatian kepada pekerjaan dalam sektor kolar putih," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Shamsuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai usaha kerajaan yang mahu membantu seramai 400,000 belia yang layak bekerja namun masih menganggur di negara ini.
Semalam, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot berkata kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan kadar pengangguran kalangan belia di negara ini dengan membantu mencari peluang pekerjaan kepada mereka mengikut sektor bersesuaian. Shamsuddin dalam pada itu mencadangkan agar kerajaan memberi insentif kepada sektor swasta untuk melatih graduan yang baru memasuki alam pekerjaan tetapi menganggur lebih daripada setahun. "Latihan yang diberikan kepada graduan bukan sahaja melatih mereka menyesuaikan diri dalam alam pekerjaan tetapi juga sebagai persediaan kepada mereka dalam kemahiran mengikut bidang pekerjaan masing-masing," katanya. Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda berkata majikan seharusnya mengurangkan pengambilan pekerja asing bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. "Beri peluang kepada golongan belia terutamanya lepasan ijazah atau diploma yang mempunyai kemahiran teknikal untuk bekerja bagi mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan mereka," katanya. Katanya, selain itu kerajaan juga perlu menggalakkan golongan belia berdaftar dengan JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja bagi memudahkan mereka memperoleh peluang pekerjaan. "Dengan berdaftar dengan kedua-dua badan ini, mereka bukan sahaja dapat memperoleh pekerjaan dengan lebih mudah dengan bantuan kerajaan, malah turut mempunyai peluang menghadiri kempen kerjaya dan menghadiri kursus persediaan sebelum melangkah ke alam pekerjaan," katanya.
 Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan pula berpendapat kerajaan perlu mengambil serius dengan mengenalpasti lebih ramai lagi penganggur belia dan membantu mereka mendapatkan pekerjaan memandangkan kadar pengangguran dalam golongan itu dianggar meningkat setiap tahun. "Setiap tahun pasti ada belia yang menamatkan pengajian mereka di universiti ataupun di peringkat sekolah, serta ada yang tercicir dalam persekolahan yang menyebabkan mereka terpaksa bekerja pada usia seawal umur 15 tahun," katanya. Katanya bagi golongan belia lepasan sekolah yang tidak mendapat tempat di universiti, mereka digalakkan untuk mempelajari kemahiran vokasional dengan menyertai Program Transformasi Vokasional dan Teknik (TVET). Program TVET katanya bukan sahaja membekalkan pendidikan teknikal dan vokasional kepada mereka dengan kadar yang murah malah dapat menjamin peluang pekerjaan apabila tamat kursus. -- BERNAMA


KARANGAN 5

Siswazah mampu selesaikan masalah pengangguran

Oleh ROZAINAH ABDUL RAHIM
PENULIS ialah pelajar di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam
Kadar pengangguran di kalangan siswazah di negara ini semakin hari kian bertambah, apa puncanya dan adakah ia relevan berlaku kepada pelajar lepasan universiti? Apakah sebenarnya masalah yang menyebabkan mereka menjadi penganggur?
Kebanyakannya bukan tidak mendapat pekerjaan atau sebarang tawaran tetapi mungkin kerjaya yang ditawarkan tidak bersesuaian dengan minat mereka. Kebanyakan mereka masih mencari kerjaya yang dirasakan bersesuaian dengan status mereka sebagai lepasan universiti.
Antara faktor yang menyebabkan pengangguran ialah sikap siswazah yang terlalu memilih pekerjaan atau tidak berminat dengan sesuatu pekerjaan yang ditawarkan kerana beranggapan tidak setaraf dengan kelulusan mereka semasa menuntut di universiti malah lebih suka tinggal di rumah tanpa melakukan apa-apa pekerjaan daripada bekerja yang bukan dalam bidang mereka.
Pemikiran minda graduan yang beranggapan lebih baik menganggur selagi belum ada kerja yang sesuai seharusnya dibuang kerana sikap ini merugikan diri sendiri dan sektor pekerjaan yang memerlukan tenaga kerja.
Jika dilihat, banyak sebenarnya peluang pekerjaan ditawarkan tetapi para graduan tidak pandai mengambil peluang yang ada. Selain itu, mereka juga boleh memperolehi pekerjaan dengan pelbagai cara selain bergantung pada sektor pekerjaan sedia ada.
Sebagai contoh, mereka boleh memulakan perniagaan sendiri dengan menggunakan ilmu yang telah dipelajari semasa menuntut di universiti. Ini kerana, pelajar universiti telah sedia dilatih dengan ilmu semangat keusahawanan yang membolehkan mereka berniaga sendiri yang ternyata boleh membawa keuntungan tanpa bergantung kepada majikan kerana pendapatan adalah atas hasil usaha sendiri.
Sememangnya persaingan antara graduan merupakan salah satu masalah besar yang mendorong kepada pengangguran siswazah terutama faktor kelulusan yang tidak sesuai dengan permintaan dunia kerjaya. Terdapat senarai kriteria yang dispesifikasikan oleh majikan dalam memilih graduan yang diingini.
Graduan yang mempunyai kelulusan yang tidak memuaskan atau cemerlang akan menghadapi masalah dan terpaksa menganggur dalam masa yang lebih lama.
Pengangguran di kalangan siswazah akan terus terjadi sekiranya mereka tidak berusaha mencari alternatif membina kerjaya sendiri atau menceburkan diri dalam kegiatan ekonomi seperti bidang keusahawanan yang boleh membantu menggerakkan ekonomi di samping dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan lain.
Peluang bagi golongan siswazah menceburi pelbagai bidang pekerjaan persendirian, perniagaan dan keusahawanan amat luas. Bidang-bidang yang boleh diceburi ini bagaimanapun memerlukan inisiatif dan kegigihan selain pemikiran yang kreatif untuk menuju kejayaan.



Penguasaan penggunaan bahasa Inggeris dengan baik juga merupakan faktor penting yang memudahkan seseorang graduan itu mendapat peluang pekerjaan yang diinginkan selain kebanjiran para siswazah dari institusi pengajian tinggi awam dan juga swasta yang terlalu banyak sehinggakan jumlah penganggur dan kerja kosong tidak sama rata.
Kemahiran bahasa ketiga merupakan bonus kepada diri siswazah kerana ia satu kelebihan yang melengkapi pakej seseorang dalam urusan kerja yang memerlukan perhubungan dengan pihak luar seperi bahasa Mandarin, Jepun, Perancis, Jerman, Arab dan Korea. Majikan semestinya akan memilih untuk mengambil pekerja yang mempunyai kelebihan seperti penguasaan bahasa ketiga yang akan menyumbang kemudahan kepada syarikatnya pada masa akan datang.
Para siswazah juga hendaklah membiasakan diri dengan aktiviti luar dan sosial seperti aktiviti kemasyarakatan dan tidak menumpukan pada akademik semata-mata. Mereka juga perlu melibatkan diri dengan aktiviti-aktiviti yang akan melatih diri bagaimana menghadapi khalayak ramai, menyelesaikan masalah, berorganisasi, dan melakukan tugas dengan baik.
Aktiviti bersosial boleh memberi banyak kelebihan pada diri seseorang berbanding duduk di rumah sahaja menunggu panggilan kerja yang belum tentu. Pihak majikan biasanya mementingkan pengalaman berbanding dengan akademik kerana jika mereka mengadakan latihan intensif untuk pekerja baru, ia akan memerlukan perbelanjaan dan mengambil masa.
Pengangguran siswazah tidak memberi manfaat kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat, dan negara. Masalah ini haruslah dibendung segera oleh siswazah dengan bersikap tidak terlalu memilih pekerjaan dan berfikir secara profesional terhadap sesuatu pekerjaan dan mempunyai sikap bertanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Selain itu juga, pihak kerajaan dan IPTA turut memainkan peranan penting dalam menangani masalah pengangguran dengan melaksanakan program di sekolah atau universiti berkaitan kerjaya. Kursus-kursus dan perancangan mengenai kerjaya perlu diadakan untuk graduan dalam pelbagai bidang bagi mewujudkan modal insan yang terlatih.
Para pendidik juga memainkan peranan besar dalam membimbing para pelajar yang masih di bangku sekolah atau di IPT supaya bersedia dan merancang lebih awal untuk memilih bidang kerjaya sesuai dengan kemahiran dan kehendak persaingan di pasaran supaya mendapat tempat dalam pekerjaan yang sesuai.
Oleh itu, graduan perlu berfikir secara profesional dan bijak merancang masa hadapan dan tidak salah jika bermula dari bawah untuk memperolehi pengalaman dan bukannya terus berada di atas.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120618/re_07/Siswazah-mampu-selesaikan-masalah-pengangguran#ixzz4qBvCZ0qu
© Utusan Melayu (M) Bhd


No comments:

Post a Comment