Thursday, 14 September 2017

Karangan Mempertahankan Unsur Kebudayaan

KARANGAN 1

Kepentingan budaya tradisonal kita
Kini, warisan budaya tradisional menghadapi ancaman kepupusan. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri.
     Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, pakaian tradisional pelbagai kaum yang unik dan berwarna-warni. Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi da pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
     Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi. Kuih- muih bertukar pinggan. Kita saling menerima dan memberi. Ucapan “Selamat Hari Raya”, “Gong Xi Fa Cai” dan “Selamat Deepavali” keluar dari jiwa yang penuh keikhlasan. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
     Salah satu tarikan pelancongan ialah budaya kita. Sebenarnya, keindahan pantai, landskap dan hutan Malaysia juga dapat ditemukan di kebanyakan tempat, misalnya di Indonesia dan di Negara Thai. Yang unik ialah budaya tradisional kita, misalnya persembahan teater tradisional seperti bangsawan dan makyung dan tarian seperti kuda kepang dan gawai. Banyak pelancong mengunjungi Malaysia kerana ingin mendekati corak hidup dan kebudayaan kita. Ada yang tinggal bersama-sama kita dikampung untuk merasai kehidupan kita. Tidak kurang pula yang merakamkan perkahwinan mereka mengikut adat resam Melayu. Jadi, budaya penting untuk mengembangkan pelancongan.
     Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Misalnya, tarian Portugis mengingatkan kita tentang kedatangan Portugis. Bangsawan yang banyak menceritakan tentang Kesultanan Melaka dan kejatuhannya juga mendatangkan pengajaran. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.
        Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.

        Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya ! tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun clan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.
        Di samping itu, pameran artifak atau sejarah kebudayaan warisan pelbagai kaum di Malaysia haruslah digalakkan. Kini pengaruh media massa menyebabkan budaya tradisional kita kian dilupai. Sehubungan dengan itu, media massa tempatan perlu menyiarkan budaya kita dengan lebih kerap dan meluas. Misalnya, pameran kebudayaan tradisional boleh diadakan melalui Pesta Malaysia, Pesta Negeri, Muzium Negeri, dan sebagainya. Pihak media massa juga digalakkan mengadakan sudut seni budaya. Akhbar Berita Harian, yang merencanakan sudut budaya tentang masakan, pakaian, hiasan, kepercayaan, petua kesihatan, dan sebagainya, harus dipuji. Sudut budaya juga boleh dimasukkan dalam rancangan khas televisyen seperti “Malaysia Hari lni” dan “Selamat Pagi Malaysia”. 
        Janganlah kita biarkan kebudayaan kita hanya dapat ditonton di muzium, bak pepatah yang berbunyi “biar mati anak,jangan mati adat”. Oleh itu, usaha memupuk dan memelihara budaya ini tidak seharusnya dipandang enteng. Marilah kita bersama-sama memeliharanya supaya terus subur meredah zaman, tidak lekang dek panas, tidak lapuk dek hujaN



KARANGAN 2

          Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai penduduk yang berbilang kaum. Tiga kaum yang terbesar  terdapat di negara ini ialah kaum Melayu, Cina dan India. Perkara ini juga merupakan salah satu keunikan Malaysia berbanding  negara lain di dunia. Kewujudan pelbagai kaum ini telah menyebabkan variasi dalam pelbagai bentuk aspek kehidupan seperti makanan yang berlainan  untuk setiap kaum, cara berpakaian dan pakaian tradisional mengikut mengikut kaum masing-masing, adat melangsungkan perkahwinan mengikut agama dan kepercayaan  serta bahasa. Seperti yang telah termaktub  dalam perlembangan Malaysia, agama Islam merupakan agama rasmi negara tetapi agama lain bebas diamalkan. Oleh itu, pelbagai budaya warisan telah wujud di Malaysia sejak dahulu lagi. Namun, pada zaman era globalisasi ini, pelbagai masalah datang menghampiri masyarakat dengan kemasukan budaya-budaya luar seperti budaya Barat dalam kehidupan seharian menyebabkan keaslian budaya warisan pelbagai kaum terhakis. Sebagai masyarakat Malaysia, usaha mengekalkan budaya warisan pelbagai kaum adalah amat penting.
              Antara kepentingan mengekalkan budaya warisan kaum masing-masing adalah sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama masing-masing. Setiap adat yang diamalkan oleh sesuatu kaum, pasti berkait rapat dengan kepercayaan dan agama kaum tersebut. Contohnya, adat melayan tetamu dalam masyarakat Melayu adalah dengan cara melayan tetamu  sebaik-baiknya. Hal ini berkaitan dengan ajaran Islam yang menyuruh umatnya melayan tetamu dengan sebaik-baik mungkin kerana tetamu yang datang ke rumah  membawa rahmat. Selain itu, dalam adat berpakaian pula, masyarakat Melayu memakai baju kurung yang agak longgar. Hal ini kerana agama Islam meyuruh umatnya memakai pakaian yang longgar dan sopan bertepatan dengan potongan   baju kurung. Perkara ini jelas menunjukan bahawa adalah amat penting untuk mengekalkan budaya warisan sebagai tanda ketaatan dan kepatuhan terhadap agama dan kepercayaan masing-masing.
             Seterusnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk mengekalkan daripada terus dilupakan dan hilang ditelan zaman. Warisan ini seharusnya dikekalkan supaya dapat diwarisi oleh generasi akan datang agar tak lapuk dek hujan, dan tak lekang dek panas. Hal ini juga penting bagi mengelakkan masyarakat terpengaruh dengan budaya Barat yang boleh merosakkan bangsa kita. Kemasukan budaya Barat dalam budaya warisan kita dikhuatiri akan merosakkan generasi yang akan datang dengan pengaruh negatif yang dibawa oleh mereka. Perkara ini juga penting untuk mengelakkan negara kita daripada dijajah lagi oleh negara luar sama ada dari segi mental dan fizikal. Sudah terang lagi bersuluh hal ini menunjukkan bahawa amat penting untuk kita mengekalkan budaya warisan bangsa agar budaya Barat tidak dapat menyerap masuk ke dalam diri anak-anak muda yang merupakan bakal pemimpin negara pada masa yang akan datang.
               Selanjutnya kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan identiti kaum masing.masing. Misalnya, kita dapat mengenali sesuatu kaum melalui cara berpakaian mereka. Contohnya baju Melayu atau baju kurung merupakan pakaian tradisional orang Melayu. Manakala, Cheongsam merupakan pakaian tradisional masyarakat China dan Sari merupakan pakaian tradisional masyarakat India. Perkara ini penting supaya kita dapat mengenali adat dan budaya kaum lain dengan lebih mendalam dan kita akan lebih menghormati kaum mereka. Identiti kaum adalah penting untuk menunjukkan keunikan kaum masing-masing kerana setiap kaum pasti mempunyai keunikan yang tersendiri. Melalui cara ini jugakita dapat memperkenalkan budaya kita kepada orang luar. Tegasnya, pengekalan budaya warisan amat penting untuk menunjukkan identiti kaum masing-masing kepada masyarakat luar.

              Akhirnya, kepentingan mengekalkan budaya warisan adalah untuk menunjukkan variasi dalam kalangan masyarakat di Malaysia. Perkara ini boleh dijadikan sebagai satu bahan tarikan pelancong di Malaysia. Makanan yang pelbagai, bahasa yang bermacam-macam memudahkan komunikasi antara anggota masyarakat dengan pelancong asing. Malahan pakaian tradisional serta adat-adat yang diamalkan oleh kaum masing-masing amat menarik bagi orang luar. Tambahan pula, dengan suasana negara dan keadaan yang aman damai ini telah mendorong kemasukan pelancong asing. Kemasukan pelancong asing menyebabkan berlaku pertukaran wang asing dan ini menyebabkan ekonomi Malaysia meningkat. Perkara ini diumpamakan sambil menyelam minum air kerana di samping mengekalkan budaya warisan bangsa , kita juga dapat menolong meningkatkan ekonomi negara .Jelaslah bahawa mengekalkan budaya warisan bangsa adalah penting bagi meningkatkan kadar kemasukan pelancong asing ke negara kita.

             Kesimpulannya, budaya warisan seharusnya dikekalkan bagi mengelakkan budaya tersebut pupus ditelan zaman. Hal ini demikian kerana budaya ini merupakan warisan daripada nenek moyang kita yang harus dijaga sebaik-baiknya agar dapat diwarisi oleh generasi akan datang justeru semua pihak haruslah memainkan peranan dalam menjaga warisan bangsa sebagai satu identiti kaum dan maruah bangsa.

KARANGAN 3

Di sini lahirnya sebuah cinta
Yang murni abadi sejati
Di sini tersemai cita-cita
Bercambah menjadi warisan…

Ku ingin kotakan seribu janji
Sepanjang kedewasaan ini
Ku ingin sampaikan pesanan
Akulah penyambung warisan
           Rangkap pertama dan rangkap terakhir daripada lirik lagu Warisan yang dinyanyikan oleh penyanyi tersohor negara, Allahyarham Sudirman bin Haji Arshad telah mempotretkan kita sebagai penyambung warisan negara. Warisan negara dapat ditakrifkan secara literal sebagai khazanah penting yang telah diwarisi sejak zaman-berzaman daripada nenek moyang kita. Warisan negara bukan sahaja merangkumi bangunan bersejarah semata-mata, malah tarian tradisional, permainan tradisional dan juga seni mempertahankan diri seperti silat. Sungguhpun begitu, hakikatnya ialah generasi pada masa ini semakin memandang sepi dan tidak menghargainya ekoran tahap kesedaran mereka yang terlalu rendah. Persoalan yang telah menerjah dan menerawang di gawang minda saya ialah apakah kepentingan mengekalkan warisan negara kepada kita? Oleh hal yang demikian, kepentingan mengekalkan warisan negara yang menunjangi fokus perbincangan akan dikupas dan dibugar secara terperinci sehingga ke akar umbi demi kebaikan kita bersama.
             Suatu hakikat yang tidak dapat dikesampingkan ialah warisan negara amat penting sebagai satu elemen yang melambangkan identiti sesebuah negara. Dalam konteks ini, identiti sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budaya seperti tarian tradisional sesuatu kaum di Malaysia. Tambahan pula, tarian tradisional yang pelbagai menunjukkan sifat masyarakat yang majmuk khususnya di negara kita yang masyarakatnya terdiri daripada pelbagai kaum. Bagi membuktikan perkara ini, contoh tarian tradisional yang dapat saya ketengahkan ialah tarian Mak Yong dan Zapin oleh orang Melayu, tarian naga dan tarian kipas oleh orang Cina serta tarian Kathak dan Bharata Natyam oleh kaum India. Dengan perkataan lain, semua jenis tarian di Malaysia mempunyai identiti, sejarah dan tujuan yang tersendiri. Yang paling nyata ialah setiap rakyat Malaysia hendaklah berusaha mengenali serba sedikit tentang budaya tarian bagi setiap kaum di negara kita. Izharlah bahawa, kepentingan mengekalkan warisan negara adalah untuk melambangkan identiti sesebuah negara.
          Mari kita kupaskan signifikan seterusnya dengan menggunakan minda pelajar kelas pertama dalam berbicara tentang kepentingan memelihara warisan negara supaya menjadi daya tarikan pelancong sama ada pelancong domestik mahupun pelancong antarabangsa. Pada masa yang sama, pengekalan monumen, arca dan bangunan bersejarah tinggalan penjajah telah menggamit hati para pelancong untuk melihat sendiri keunikan ciptaan masyarakat terdahulu. Secara langsung, senario ini dapat dibuktikan menerusi peningkatan bilangan pelancong yang mengunjungi bandar warisan seperti Georgetown dan Kota Bharu, Kelantan yang amat ketara dalam tempoh tahun 1990 hingga 1997. Antara contoh negeri lain di Malaysia yang menjadi destini wajib para pelancong untuk mengetahui sejarah sebenar yang berlaku dan mempunyai kesan tinggalan sejarah ialah negeri Melaka seperti Kota A Famosa, perigi Hang Tuah dan juga makam Hang Jebat yang terletak di Bandaraya Bersejarah tersebut. Jelaslah bahawa, warisan negara perlu dikekalkan bagi merancakkan industri pelancong sekali gus menyumbang kepada peningkatan ekonomi negara. 
           Lanjutan daripada huraian yang telah dinyatakan di atas, warisan negara juga hendaklah dipelihara untuk mengekalkan kesinambungan tamadun sesuatu bangsa. Menyedari hakikat ini, permainan tradisional yang merupakan permainan warisan masyarakat Melayu sejak zaman Kesultanan Melayu haruslah dihidupkan kembali kerana permainan tradisional ini menjadi lambang warisan dan kebudayaan masyarakat Melayu supaya tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Antara contoh permainan tradisional masyarakat Melayu yang boleh saya ketengahkan ialah wau, gasing, sepak raga, congkak dan batu seremban. Yang paling nyata, pada zaman dahulu, permainan tradisional merupakan salah satu cara untuk mengisi masa lapang sedangkan pada zaman ini, permainan tradisional semakin dilupakan kerana sudah tidak relevan dan tidak dikomersialkan di kaca-kaca televisyen. Bertitik tolak daripada itu, alat permainan tradisional perlu dimodifikasikan supaya menjadi lebih menarik, namun begitu ciri-ciri keunikannya hendaklah dikekalkan keasliannya. Tegasnya, kesinambungan tamadun perlu dikekalkan supaya generasi muda celik tentang asal usul mereka dan tidak lupa daratan.
         Ayuh, kita capahkan lensa perbincangan kita kepada skop yang lebih khusus di bawah kata kunci kepentingan mengekalkan warisan negara bagi memupuk semangat patriotisme dalam kalangan rakyat Malaysia. Dalam konteks ini, semangat patriotisme akan lahir dengan sendirinya apabila generasi muda dapat merasakan keperitan dan semangat perjuangan pahlawan-pahlawan negara dalam mempertahankan tanah air yang tercinta. Tambahan pula, nama-nama pejuang yang telah terkorban ada tercatat pada Tugu Negara untuk tatapan semua. Rentetan itu, generasi muda tidak akan menjadi seperti kacang lupakan kulit kerana mereka akan sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air dalam mempertahankan negara. Pada masa yang sama, peristiwa sejarah penting yang berlaku di negara kita dapat dikenang semula apabila bangunan lama yang diberi nafas baharu dapat mengembalikan nostalgia yang sungguh bermakna buat semua. Sebagai analoginya, Bangunan Sultan Abdul Samad telah menjadi saksi bisu terhadap kemerdekaan negara tatkala laungan kemerdekaan yang diketuai oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 31 Ogos 1957 telah berlangsung di sini.   Deduksinya, usaha memelihara warisan negara amat penting bagi memupuk semangat patriotisme agar generasi muda tidak melupakan sejarah-sejarah penting negara kita.
            Perbincangan saya telah meniti ke puncaknya, maka sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan, dapatlah saya rumuskan di sini bahawa warisan negara haruslah dihargai dan dipelihara oleh setiap individu dalam sesebuah masyarakat. Kita seharusnya berterima kasih kepada pihak kerajaan khususnya Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara kerana memainkan peranan bagi merancang, mengumpul dan mengedar bahan serta informasi berkaitan seni dan budaya untuk tatapan umum. Oleh hal yang demikian, masyarakat perlulah bekerjasama dengan pihak kerajaan ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni supaya warisan nenek moyang kita dapat dilestarikan. Memetik kata-kata pujangga George Santayana, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Usaha yang dilaksanakan itu perlulah bersungguh-sungguh bak mutiara kata genggam bara api biar sampai jadi arang. Demi merealisasikan visi kudsi Wawasan 2020, janganlah kita biarkan warisan kita hanya dapat disaksikan di muzium sahaja, bak pepatah yang berbunyi, biar mati anak, jangan mati adat, supaya warisan negara terus subur dan mekar meredah zaman.

KARANGAN 4

Salah satu kelebihan negara kita ialah masyarakatnya yang berbilang kaum. Kita mempunyai kaum Melayu, Cina, India, dan berdozen-dozen kaum minoriti yang lain terutama di Sabah serta Sarawak. Situasi ini menyebabkan negara kita mempunyai pelbagai adat atau budaya yang menarik untuk diperhatikan. Malah, adat atau budaya yang unik ini mempunyai banyak kepentingan jika dihargai dengan sewajarnya.
Sebenarnya, budaya yang unik ini memang wajar dihargai kerana budaya inilah yang menonjolkan sesuatu kaum itu. Tanpa budaya ini sesuatu kaum itu akan kehilangan identitinya buat selama-lama. Budaya yang diamalkan itu seperti memakai pakaian tradisional, makan menggunakan tangan, pergi ke kubur ketika hari raya dan sebagainya turut menimbulkan rasa bangga kepada pengamal budaya kaum itu. Individu yang terbabit akan berasa mereka telah berjaya mengekalkan budaya turun-temurun nenek moyang mereka selama ini.
Selain itu, tindakan individu tertentu menghargai budaya ini menjadi satu cara yang paling mudah untuk mempamerkan rasa mengormati generasi tua daripada generasi muda. Budaya memakai pakaian tradisional menjadi satu kaedah yang mudah untuk diamalkan oleh remaja dalam usaha mereka mengekalkan budaya tradisional ini. Remaja bukan sahaja mamu membuktikan rasa hormat mereka tetapi turut menerima penghargaan generasi tua lantaran sanggup mengekalkan budaya.
Salah satu kepentingan mengekalkan budaya ialah budaya mempunyai nilai-nilai murni dan sikap menghormati. Kedua-dua sikap ini sudah hampir terkikis daripada diri remaja negara ini. Remaja sudah mula memanggil ibu bapa mereka dengan nada yang kasar, lari dari rumah, dan suka memarahi orang tua. Jadi, pengekalan dan pengamalan budaya ini sudah pasti akan menonjolkan rasa hormat dan sikap atau jati diri remaja yang murni. Remaja akan menjadi individu yang terbilang.
Malah, sikap menghargai budaya memastikan sesuatu budaya kaum itu tidak akan luput ditelan zaman. Lihat sahaja budaya bekerjasama menjalankan kenduri sudah mula hilang sedikit demi sedikit lantaran masyarakat kita lebih suka menggunakan perkhidmatan katering. Atas alasan mudah, kita sudah melupakan budaya bekerjasama ketika mengadakan kenduri yang mempunyai banyak impak positif tetapi penat itu. Usaha mengekalkan budaya kaum sudah pasti akan mengembalikan nostalgia majlis kenduri yang dijalankan secara meriah.
Tambahan pula, pengamalan budaya ini memastikan peraturan dan saling bergantung anggota masyarakat diamalkan. Untuk mencapai perpaduan, semua kaum harus mengekalkan budayanya kerana melalui budayalah kita bersatu. Sikap hormat antara satu sama lain menyebabkan kita tidak akan cuba menyakiti kaum lain atas perkara-perkara yang remeh. Sebaliknya, penghargaan terhadap budaya menguatkan semangat perpaduan kita.
Kesimpulannya, budaya atau adat sesuatu kaum itu merupakan satu khazanah yang arus dipertahankan oleh rakyat negara ini. Usahlah kita terlalu memandang ke arah kemodenan sehingga menganggap budaya sendiri sudah lapuk atau tidak sesuai lagi. Kita harus melihat budaya sebagai satu alat yang mampu membentuk kita ke arah kemodenan yang lebih baik lagi iaitu kemodenan rohaniah dan kebendaan. Mungkin selepas menguasai budaya barulah kita boleh menganggap diri kita sudah mencapai kemodenan hidup



KARANGAN 5

tamadun sesuatu bangsa selalunya dapat dilihat pada warisan seni budayanya. Warisan budaya ini harus dikekalkan kerana mempunyai identiti tersendiri. Budaya tradisional mencakupi amalan dan cara hidup pelbagai kaum di negara kita. Hal ini termasuklah pakaian, makanan, adat resam, seni, dan sebagainya. Tetapi kini, warisan budaya tradisional negara kita smakin lenyap ditelan arus pemodenan.
Budaya melambangkan identiti sesebuah negara. Amalan budaya tradisional kita melambangkan sifat majmuk masyarakat kita. Misalnya, keuikan pakaian tradisional pelbagai kaum yang pelbagai bentuk potongan dan cara pemakaian serta berwarna-warni.
Budaya tradisional kita juga menunjukkan budi pekerti masyarakat Malaysia. Nilai murni yang ditunjukkan dalam majlis korban dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran menunjukkan kita prihatin terhadap orang lain dan bersikap mesra. Banyak orang asing terkejut kerana rakyat kita bebas mengunjungi pemimpin kita pada hari kebesaran. Penghantaran kuih-muih dan saling mengunjungi pada hari kebesaran menunjukkan kemesraan sesama kaum. Inilah identiti Malaysia yang dikagumi oleh dunia luar dan identiti ini perlu dikekalkan.
Budaya tradisional juga dapat memupuk perpaduan negara. Rakyat majmuk kita kaya dengan nilai tradisional yang murni. Misalnya, kunjung- mengunjungi dan mengadakan rumah terbuka pada hari kebesaran. Rakyat kita tidak kira keturunan, agama dan amalan adat resam turut merayakan bersama-sama. Jiran tetangga dan sahabat handai saling mengunjungi.Kita saling menerima dan memberi. Semangat kekitaan ini akan mengeratkan siraturahim, seterusnya memupuk perpaduan.
Budaya perlu dikekalkan demi kesinambungan tamadun kita. Melalui budaya tradisional, kita mengetahui asal usul kita. Dengan ini, kita tidak akan lupa daratan. Sebaliknya, kita akan sedar tentang kesulitan hidup nenek moyang kita. Dari sini kita akan mendapat iktibar. Budaya kita yang murni juga merupakan benteng budaya. Dengan ini, rakyat kita tidak dihanyutkan oleh budaya Barat. Yang ada pada hari ini berpunca daripada yang silam. Jadi generasi muda harus mengenali asal usul sendiri.



Untuk mengembangkan budaya tradisional, rakyat mesti didedahkan kepada kekayaan warisan budaya negara. Kita boleh menganjurkan kempen, ceramah, wawancara serta pameran untuk menghidupkan warisan budaya. Dengan ini, rakyat kita akan lebih memahami budaya sendiri. Usaha kita menerapkan seni bina Melayu pada bangunan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Muzium Negara, Bank Muamalat, dan bangunan lain perlu diperluas. Kemasukan budaya asing yang mampu menggugat kedudukan tradisi dan identiti negarajuga perlu disekat. Tempat dan bangunan bersejarah perlulah dikekalkan dan dipulihkan. Dengan ini, warisan budaya dapat diikuti dan dilihat sepanjang masa.
Warisan tradisional kita boleh disampaikan kepada generasi muda melalui latihan. Kumpulan makyung, wayang kulit, zapin, dan sebagainya boleh dijalankan melalui Rakan Seni Budaya. Sistem pendidikan juga boleh menyelitkan budaya tradisional sebagai aktiviti kokurikulum di sekolah. Pertandingan berbalas pantun dan tarian tradisional akan mengembangkan budaya ini. Usaha ini memberikan peluang kepada mereka yang berminat untuk mengikutinya. Dengan ini, budaya kita akan terus berkembang. Persembahan ini juga akan membolehkan orang ramai mengenalinya dengan lebih dekat. Dengan ini, seni jiwa bangsa dapat dihayati kerana “tak kenaI maka tak cinta”.


No comments:

Post a Comment