Karangan 1
Stres dapat menjadi pendorong kepada sesuatu tindakan dan pencapaian serta boleh menimbulkan masalah kesihatan. Stres merupakan hasil interaksi antara peristiwa persekitaran dengan individu. Paras stress yang dihasilkan akan bergantung kepada sumber tekanan dan cara individu tersebut bertindak balas.
Stres member kesan terhadap emosi seseorang. Emosi seseorang itu akan terganggu dan perasaan risau sentiasa menghantuinya. Selain itu, seseorang itu mengalami ketegangan fikiran dan tidak dapat membuat keputusan dengan baik. Stres juga menyebabkan seseorang itu berasa seolah-olah otaknya sentiasa letih dan penat berfikir.Stres mengubah sikap seseorang itu daripada seorang yang sabar kepada cepat marah dan sentiasa mengeluh. Kadang-kadang, seseorang itu juga menunjukkan perasaan runsing, kecewa dan mudah menangis. Stres yang tidak terkawal akan menyebabkan perasaan cemas, sensitive,murung,sukar tidur dan hilang selera makan.
Stres juga mendatangkan ancaman penyakit kepada kesihatan seseorang. Apabila seseorang itu mengalami stres, kadar denyutan jantung menjadi cepat dan menyebabkan tekanan darah turut meningkat. Sistem penghadaman juga menjadi perlahan dan beberapa bahan kimia dalam tubuh dilepaskan supaya darah lebih mudah bergumpal. Selain itu, kadar pernafasan yang semakin laju menyebabkan otot-otot menjadi tegang. Hal yang demikian menyebabkan kadar perpeluhan yang meningkat. Penyakit seperti sakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok mudah menyerang seseorang yang mengalami stress.
Stres juga member ketidakselesaan kepada seseorang. Apabila stress, seseorang itu akan mengalami denyutan jantung yang laju dan tidak tetap. Hal ini demikian kerana otot-ototo menjadi tegang dan mengakibatkan dada berasa tidak selesa. Secara fizikalnya, seseorang itu akan mengalami sakit kepala dan kadang-kadang muntah. Stres juga menyebabkan seseorang itu kerap membuang air kecil. Tubuh badan akan berasa letih, lesu dan lemah. Mulut dan tekak akan menjadi kering dan menyebabkan seseorang itu berasa tidak selesa. Selain itu, masalah kulit seperti psoriasis, eczema dan jerawat juga timbul.
Di samping kesan buruk, stress juga memberikan kesan yang baik secara semula jadi. Badan dapat bertindak balas apabila menerima tekanan. Kelenjar pituitari yang terletak di bawah otak akan bertindak balas terhadap tekanan yang diterima dengan merembeskan hormone adrenocorticotropik (ACTH). Hormon tekanan ini, termasuk kortisol dan adrenalin akan membantu meningkatkan daya tumpuan, mempercepatkan tindakan dan meningkatkan kekuatan serta pergerakkan seseorang. Hal ini demikian membolehkan seseorang itu menganggap stress mampu menjadikannya bertiindak lebih aktif dan membuat pertimbangan yang wajar. Ketiadaan stress akan menjadikan seseorang itu lambat bertindak balas kerana sentiasa berada di zon selesa.
Kesimpulannya, stress atau tekanan yang dialami oleh seseorang individu merupakan tindak balas daripada ketidakupayaan seseorang menangani masalah yang sedang dihadapi. Sekiranya tekanan atau stress ini tidak ditangani, akan memudaratkan individu tersebut baik daripada aspek fizikal, mental, emosi mahupun aktiviti sosial mereka.
Stres dalam kalangan pelajar semakin meningkat. Bincangkan punca dan langkah-langkahnya.
Tekanan kini semakin menjadi-jadi dalam kalangan pelajar. Mereka yang mengalami tekanan mental biasanya menunjukkan tanda-tanda seperti bersikap murung, suka menyendiri dan tiada selera makan. Contoh, peristiwa pelajar yang mengalami stres ialah cubaan membunuh diri seperti terjun dari bangunan tinggi dan cubaan mencederakan diri sendiri dengan pisau atau senjata. Tegasnya, punca-punca yang menyebabkan pelajar mengalami stres perlu dikenal pasti dan langkah-langkah yang berkesan perlu diambil untuk mengelakkan masalah ini daripada berlarutan.
Tekanan dalam pelajaran merupakan satu punca yang menyebabkan masalah stres dalam kalangan pelajar. Sesetengah pelajar yang gagal dalam peperiksaan menghadapi tekanan apabila tidak dapat berdepan dengan ibu bapa mereka dan menunjukkan keputusan peperiksaan yang tidak memuaskan kepada mereka. Contohnya, pelajar yang mengalami tekanan dalam pelajaran akan menghadapi kemurungan dan berkemungkinan besar akan cuba membunuh diri. Tegasnya, tekanan dalam pelajaran sememangnya menjadi punca utama yang menyebabkan stres dalam kalangan pelajar semakin meningkat.
Selain itu, tekanan keluarga turut merupakan punca masalah stres dalam kalangan remaja. Punca kehilangan pekerjaan dan masalah rumah tangga yang tidak pernah berkesudahan menyebabkan sesetengah anggota keluarga berbalahan sesame sendiri dan situasi ini menimbulkan ketegangan dalam kalangan ahli keluarga. Fenomena sedemikian mewujudkan masalah stres dalam kalangan ahli keluarga. Misalnya, ahli keluarga yang bermasalah akan terdorong untuk melakukan perbuatan yang boleh mencederakan fizikal dan mental mereka seperti cubaan untuk terjun dari bangunan tinggi.
Punca masalah stres turut disebabkan oleh tekanan hubungan antara rakan. Pelajar yang menghadapi tekanan dalam masalah cinta yang dihalang dan tidak direstui oleh ibu bapa pelajar menyebabkan jiwa mereka memberontak. Keadaan ini menyebabkan mereka bertindak melarikan diri dari rumah bersama dengan rakan sebaya disebabkan mereka tidak sependapat dengan ibu bapa mereka. Contohnya, kes remaja yang terpengaruh dengan pujuk rayu daripada teman mereka bertindak untuk melarikan diri dari rumah tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Tegasnya, tekanan hubungan antara rakan merupakan punca masalah stres berlaku dalam kalangan pelajar.
Antara langkah yang boleh dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah stres adalah menjalani sesi kaunseling dengan pakar psikologi yang berpengalaman. Pelbagai tips dan kaedah serta rawatan terbaik untuk menghadapi tekanan stres dalam kalangan pelajar perlu didedahkan kepada pelajar yang menghadapi masalah pelajaran dan keluarga. Contohnya, kaedah terbaik adalah dengan menggunakan sistem mentor-mentee bagi setiap pelajar yang menghadapi masalah stres dan ini sedikit-sebanyak dapat membantu mereka mengurangkan tahap stres dalam kalangan pelajar. Tegasnya, langkah terbaik yang boleh dilakukan oleh pelajar yang menghadapi masalah stres adalah menjalani sesi kaunseling dengan pakar psikologi.
Selain mengadakan sesi kaunseling dengan pakar, pelajar sendiri perlu bersikap positif terhadap diri mereka sendiri. Secara umumnya, terdapat lapan kaedah yang boleh dilakukan untuk memastikan diri kita sentiasa berfikiran positif. Pertama, kita mengenal potensi diri dan berfikiran positif. Kedua, kita membaiki kelemahan diri dan tidak mengulangi kesilapan lalu. Ketiga, kita mengenal pasti sumber sokongan sosial yang dapat meningkatkan potensi diri. Keempat, kita mendapatkan sumber maklumat yang benar dan sahih dalam membuat keputusan. Kaedah lain ialah pelajar sendiri perlu mengelakkan diri daripada menjadi sumber kontroversi atau gosip, bergaul dengan individu yang berfikiran positif, menguruskan sumber stres dan membuat penghargaan kepada diri sendiri setiap kali melakukan sesuatu yang positif. Selain berfikiran positif, kita perlu memastikan diri kita sentiasa dihargai. Terdapat beberapa tips yang boleh dipraktikkan untuk menghargai diri sendiri. Tips pertama adalah menyayangi badan kita, mengamalkan gaya hidup sihat, mengembangkan bakat dan minat, menjalinkan interaksi dengan orang yang membuat kita gembira, mengeratkan hubungan dengan ahli keluarga, meningkatkan kekuatan diri dan mensyukuri nikmat Tuhan dan berterima kasih. Tegasnya, remaja perlu menjadi lebih positif dengan diri sendiri dan menjadi lebih mapan dalam usaha membentuk jati diri dengan membina maruah diri.
Kesimpulannya, tekanan stres akan menyebabkan seseorang tidak boleh menjalani aktiviti seharian dan hal ini mengurangkan produktiviti mereka. Oleh itu, kaedah mengenal potensi diri dan berfikiran positif merupakan cara yang terbaik untuk mengurangkan tahap stres dalam kalangan pelajar. Kita haruslah ingat bahawa, remaja hari ini merupakan tonggak generasi dan bakal pemimpin negara kita pada masa depan. Oleh itu, pelbagai langkah yang efektif perlu dilakukan oleh semua pihak sehingga ke akar umbinya untuk menangani isu stres ini daripada berlarutan.
Karangan 2
Dasawarsa ini, sama ada kita sedar atau tidak, selaras dengan pembangunan yang semakin gah di persada dunia, semakin berbagai-bagai punca yang telah mencetuskan tekanan mental. Tekanan mental dapat ditakrifkan sebagai sejenis desakan atau paksaan yang berkaitan dengan akal, pemikiran atau proses intelektual. Tekanan yang terlampau akan menyebabkan penyakit psikologi dan berlakunya jenayah. Cara-cara yang efektif harus digunakan agar tekanan mental dapat ditangani. Oleh itu, pelbagai faktor dan cara mengatasi masalah tekanan mental yang mewarnai focus perbincangan akan dihuraikan dengan terperinci.
Faktor pertama yang menyebabkan seseorang berhadapan dengan tekanan mental ialah masalah personaliti yang sempurna. Keinginan memajukan diri adalah berfaedah kepada orang sekiranya tidak keterlaluan. Keinginan yang keterlaluan pula akan mendatangkan tekanan sehingga menyusahkan dirinya. Seseorang yang terlalu menitikberatkan kesempurnaan tidak akan berasa puas hati dan sentiasa ingin berjaya dalam semua aspek yang terlibat. Golongan ini sering mempunyai hasrat atau cita-cita yang menggunung. Mereka berasa kecewa apabila hasil tidak mengikut standard kesempuraan berdasarkan kaca matanya. Oleh itu, masalah personalitI yang sempurna akan menyebabkan tekanan mental yang berat.
Masalah kehidupan dari segi kekeluargaan, pekerjaan atau pelajaran akan mendorong wujudnya tekanan mental. Masalah keluarga dan kemiskinan menyebabkan jiwa manusia sentiasa kecewa dan tertekan. Mereka berasa tekanan kerana sukar mencari nafkah untuk keluarga. Kerja yang berat dan rumit menyebabkan tekanan untuk mengekalkan prestasi di tempat kerja. Tekanan pelajaran pula berlaku kerana berusaha mencapai kecermelangan. Tekanan dalam kalangan pelajar biasanya berpunca daripada ibu bapa yang ingin anak mereka berjaya dalam pelajaran atau pihak guru yang ingin memastikan objektif pembelajaran dan pengajaran (P&P) mereka tercapai. Jadi, masalah kehidupan mengakibatkan tekanan mental yang cenderung mendorong penyakit psikologi.
Selain itu, pengalaman lampau yang ngeri juga merupakan salah satu faktor kepada tekanan mental. Keadaan ini biasanya wujud pada mangsa tragedi ngeri atau menakutkan. Akibat daripada tragedi tersebut, mangsa sering dihantui perasaan bercampur-campur. Jika mangsa merupakan seseorang yang diam dan tidak suka meluahkan perasaan, maka dia akan mengalami depresi dalam jangka panjang. Mereka akan berasa fobia, takut dan boleh bertindak terburu-buru tanpa keupayaan untuk berfikir dengan nasional. Pengalaman yang terlampau seperti dirogol atau dibuli mungkin menyebabkan seseorang hilang kewarasan kerana terlalu tertekan. Dengan itu, pengalaman yang dashyat mungkin menyambung kepada desakan mental.
Namun begitu, masalah tekanan mental boleh diatasi melalui amalan gaya hidup yang sihat. Amalan kehidupan yang harmonis boleh mengurangkan kegeraman dan tekanan hidup. Pengalaman sikap bertoleransi, sabar dan ceria dalam pergaulan seharian mampu mengelakkan pertelingkahan. Pengurusan masa secara teratur dan pembahagian kerja pula dapat mengurangkan beban kerja. Individu boleh bersenam dan berekrasi agar melepaskan tekanan mental. Dari segi penjagaan pemakanan seharian pula, kita perlu mengelakkan makanan berlemak dan berkanji tetapi menambahkan pengambilan sayur-sayuran dan buah-buahan. Jadi, amalan gaya hidup yang sihat adalah berkesan untul mengelakkan masalah tekanan mental yang berat.
Langkah mengatasi tekanan mental boleh dilakukan dengan bimbingan kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi. Perkhidmatan psikoterapi merupakan sejenis rawatan gangguan mental melalui kaedah psikologi. Kaunseling mampu membantu individu yang bermasalah agar mengurangkan konflik hidup mereka. Perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi berperanan menyediakan ruang untuk mangsa tekanan mental meluahkan isi hati mereka. Setelah pendengaran masalah, pihak kaunseling memberikan nasihat agar membantu individu tersebut menyelesaikan masalahnya. Kaunseling juga diberikan kepada keluarga penyakit mental supaya mengurangkan tekanan mereka yang terpaksa menjaga pesakit. Dengan itu, jelaslah bahawa kaunseling dan perkhidmatan psikoterapi merupakan satu langkah yang penting dalam mengelakkan tekanan mental.
Di samping itu, pendidikan agama atau moral juga mampu mengatasi masalah tekanan mental. Agama dipandang sebagai unsur penting untuk menanam ciri-ciri kemanusiaan yang mulia. Ibu bapa harus member pendidikan agama kepada anak-anak mereka sejak kecil lagi kerana “anak ibarat kain putih, ibu bapa yang mencorakkannya”. Individu yang mempunyai asas nilai-nilai murni mampu menguasai nafsu mereka. Pendidikan moral dan agama boleh mengatasi masalah jiwa kosong dan memberikan kesedaran melawan nafsu yang keterlaluan. Dengan kesedaran tersebut, seseorang akan sentiasa bersyukur dengan kurniaan Tuhan. Pendidikan agama atau moral dapat mengurangkan tekanan mental melalui kawalan keinginan.
Sebagai menggulung segala yang telah diperkatakan di atas, tekanan mental tidak akan memudaratkan seseorang sekiranya ditangani dengan hati yang tenang dan relaks. Analogi mudah bagi tekanan mental ialah “pengambilan vitamin”. Pada prinsipnya, tekanan mental sama seperti pengambilan vitamin. Pengambilan vitamin yang seimbang akan meningkatkan sistem immunisasi individu. Walaupun begitu, pengambilan vitamin yang berlebihan pula akan mendatangkan kesan sebaliknya! Begitu jugalah dengan tekanan mental kerana tekanan mental yang optimum akan memajukan seseorang tetapi tekanan mental yang terlampau akan membebankan dirinya.
Karangan 3
Zaman remaja diakui sebagai zaman yang sangat indah namun penuh pancaroba. Remaja akan meneroka pelbagai sudut kehidupan demi mencari hala tuju mereka. Dalam tempoh pengembaraan itu, remaja akan berdepan dengan pelbagai masalah yang menguji ketabahan mereka. Ada remaja yang berjaya menangani masalah dengan baik namun ada juga yang tewas dalam kancah emosi sehingga mencetuskan permasalahan yang lebih serius. Remaja seperti inilah yang perlu dibantu agar mampu menangani tekanan emosi dalam jiwa mereka dengan cara yang bijak.
Apabila dibebani masalah, remaja lebih cenderung untuk melarikan diri daripada masalah dengan mencetus masalah lain. Contohnya, remaja selalu berdepan dengan konflik keluarga kerana pandangan yang berbeza. Jika itu berlaku, mereka mengambil jalan mudah dengan keluar melepak bersama rakan-rakan yang mungkin mendorong mereka untuk melakukan perkara-perkara negatif. Mereka mula tidak pulang ke rumah kerana tidak ingin bertembung dengan punca masalah di rumah. Hakikatnya tindakan itu tidak bijak kerana langkah terbaik adalah dengan mencari punca masalah tersebut dan berbincang bersama-sama agar yang keruh dapat dijernihkan. Jelas bahawa merungkai benang yang kusut adalah lebih baik daripada terus menambah masalah.
Ada juga remaja yang gemar memendam rasa apabila berdepan dengan masalah. Mereka akan menjadi pendiam dan jika keadaan itu dibiarkan berterusan, kemungkinan mereka akan menjadi murung. Kemurungan yang berlebihan akan membawa kepada masalah jiwa. Perkara ini boleh dielakkan jika remaja me0ncari seseorang yang boleh dipercayai untuk meluahkan masalah mereka. Teman baik merupakan orang yang sepatutnya dijadikan sandaran namun remaja perlu bijak memilih orang yang paling dipercayai. Walaupun orang yang mendengar tidak mampu membantu, sekurang-kurangnya luahan masalah itu dapat meringankan kekusutan yang bermain di minda. Melepaskan apa yang terbuku di jiwa merupakan terapi paling baik dalam menangani stres.
Selain itu, cara yang tepat untuk mengatasi stres adalah dengan mendekatkan diri kepada Tuhan. Berdoa dan meluahkan rasa hati kepada Tuhan dapat meringankan bebanan. Dengan mendekatkan diri kepada Tuhan, remaja dapat menerima hakikat bahawa masalah yang datang itu adalah dugaan daripada Tuhan untuk menguji tahap keimanan seseorang. Dugaan itu akan dipandang dari sudut yang positif jika remaja menerima segala masalah sebagai ketentuan atau takdir daripada Tuhan. Maka mendekatkan diri kepada Tuhan dengan beribadat merupakan cara yang paling tepat untuk menghilangkan keresahan hati dan remaja boleh memohon petunjuk daripada Tuhan untuk menyelesaikan masalah tersebut.
Kerunsingan terbukti dapat dihindarkan atau diatasi dengan cara beriadah. Jika ada masalah, luangkan masa untuk bersenam atau berjalan-jalan di kawasan riadah yang tenang. Ini selaras dengan slogan badan cergas otak cerdas. Aliran darah yang lancar hasil aktiviti riadah dapat mengurangkan tekanan pada minda yang berserabut dan kemungkinan remaja dapat melupakan seketika masalah yang sedang ditanggung. Remaja juga patut mengajak rakan atau ahli keluarga untuk bersama-sama beriadah dan hasil komunikasi ketika sesi riadah dapat membantu meringankan masalah. Tuntasnya, proses biologi yang tercetus ketika beriadah dapat memberi ilham kepada remaja untuk menyelesaikan masalah emosi yang ditanggung.
Kesimpulannya, stres tidak boleh dibiarkan menguasai diri kerana implikasinya terlalu besar. Orang yang sedang dalam tekanan yang keterlaluan selalunya tidak dapat mengawal diri sendiri. Justeru, jika kita sedang mengalami stres, berusahalah untuk mengatasinya secepat mungkin. Begitu juga jika kita melihat rakan yang sedang dalam tekanan, carilah jalan untuk membantunya mengatasi masalah tersebut. Cegah sebelum parah adalah jalan yang terbaik sebelum nasi menjadi bubur.
Karangan 4
Setiap manusia tidak terlepas daripada menghadapi tekanan dalam kehidupan. Hal ini bertepatan dengan maksud peribahasa, bumi mana yang tidak ditimpa hujan dan lautan mana yang tidak bergelora. Bagaimanapun, tekanan yang dihadapi itu berbeza-beza tahapnya. Tekanan yang dihadapi oleh golongan dewasa mungkin akibat memikirkan masalah keluarga, kewangan atau kerjaya, manakala bagi remaja pula tekanan yang dihadapi mungkin berkaitan dengan pelajaran, hubungan dengan rakan atau masalah yang berkaitan dengan keluarga. Bagi sesetengah orang, tekanan mungkin membawa kejayaan dan kebahagiaan dalam kehidupan, manakala yang lainnya pula menganggap tekanan sebagai sumber kesengsaraan dan penderitaan sehingga tekanan yang dihadapi itu membawa kepada pengakhiran kehidupan. Sebagai pelajar, saya juga tidak terlepas daripada menghadapi tekanan yang berpunca daripada pelbagai faktor terutamanya faktor pelajaraan. Oleh hal yang demikian,sebelum nasi menjadi bubur, beberapa langkah telah saya ambil bagi menangani masalah tekanan.
Kehidupan yang terlalu sibuk menyebabkan kita sering melupakan kegiatan yang sangat berfaedah untuk kesihatan fizikal, mental dan psikologi kita. Kegiatan tersebut ialah riadah, iaitu aktiviti yang sering dilakukan pada waktu lapang terutamanya pada hujung minggu. Antara kegiatan riadah yang kerap saya lakukan ialah berbasikal, joging, bermain futsal, bermain badminton, bersiar-siar di taman rekreasi dan memancing ikan. Selepas bermain futsal dan badminton umpamanya, selain peluh mengalir membasahi tubuh, kepenatan akan dapat dirasakan. Selepas mandi dan membersihkan diri, saya akan berehat melepaskan lelah. Keadaan akan menjadi lebih baik apabila saya dapat melelapkan mata. Oleh sebab kepenatan selepas melakukan riadah, saya akan tidur dengan sangat lena. Hilang sebentar segala masalah yang membelenggu diri. Tekanan pun menghindar dan akhirnya fikiran menjadi lapang. Ada waktunya saya melakukan riadah bersama-sama ibu bapa saya. Peluang keemasan itu saya gunakan sepenuhnya dengan melakukan perbincangan, sama ada yang berkaitan dengan masalah peribadi, mahupun masalah pelajaran yang sering memberikan tekanan kepada saya. Lantaran itu, saya menganggap kegiatan riadah sebagai serampang dua mata yang membantu meningkatkan kesihatan diri di samping menjadi salah satu cara untuk mengurangkan tekanan.
Sesungguhnya saya amat meyakini bahawa cara kita berfikir amat mempengaruhi kesihatan diri, terutamanya kesihatan mental. Lantas, demi memastikan saya memiliki kesihatan yang baik tanpa menghadapi tekanan, saya sentiasa berfikiran positif apabila berhadapan dengan situasi yang kritikal dan sukar. Apabila menerima pujian, saya tidak akan berbangga dengan pujian tersebut, sebaliknya saya akan memikirkan sama ada pujian terebut diberikan secara ikhlas atau diberikan kepada saya kerana ada udang di sebalik batu. Berkemungkinan pujian itu diberikan secara bersahaja, atau jika tidak pun saya menerimanya sebagai satu penghargaan. Bagaimanapun, jika kritikan atau teguran pula yang diberikan, saya akan menerimanya dengan minda terbuka dan menganggapnya sebagai kritikan yang membina. Ibu sering mengingatkan saya bahawa kritikan yang diberikan oleh seseorang itu sebenarnya lebih ikhlas dan memiliki nilai kejujuran berbanding dengan pujian yang selalunya lebih bersifat palsu. Di sebalik kritikan yang diterima itu saya akan melakukan muhasabah diri lalu membaiki segala kekurangan yang ada agar saya tidak menerima kritikan yang sama pada waktu yang lain pula. Sekiranya saya tidak dapat menerima kritikan tersebut, fikiran akan menjadi tidak menentu dan kusut, lalu akhirnya saya akan terjerat dalam kancah tekanan yang melampau. Natijahnya, saya sentiasa menghadapi tekanan dengan fikiran yang positif.
Saya ialah penggemar dan pencinta muzik sama ada muzik ciptaan anak tempatan mahupun muzik antarabangsa. Seandainya muzik tidak didengar menerusi cakera padat, masih ada muzik di dalam jiwa saya yang membuatkan kaki bergoyang. Bagi saya, muzik pencetus kegembiraan dan keceriaan, walaupun sesekali muzik mengundang kesedihan dan kedukaan. Hal ini bertepatan dengan pandangan ahli-ahli psikologi bahawa muzik merupakan salah satu wahana terapi yang efesien dan sumber ketenangan fikiran yang sering diabaikan. Apabila muzik bergema, hati akan dibuai oleh alunan melodinya sehingga di luar kesedaran diri, saya seperti berada di alam yang lain. Muzik yang rancak akan menyebabkan kaki bergoyang, manakala muzik sentimental pula akan menjadikan diri dibuai perasaan. Seni katanya yang melankolik akan menyumbang ke arah penghayatan yang tinggi seolah-olah saya turut merasakan kedukaan yang sedang dialami oleh pelantun lagu tersebut. Jika tekanan menghimpit perasaan, tanpa disedari saya telah melupakan sebentar tekanan tersebut dengan bantuan muzik. Hal ini bertepatan dengan kata-kata pujangga yang menukil bahawa muzik tak mungkin dapat dipisahkan daripada jiwa setiap manusia. Tanpa muzik juga kehidupan akan menjadi sepi. Oleh itu, muzik bukan sahaja dapat menghiburkan hati, malah muzik seperti memiliki kuasa magis yang berupaya mengurangkan tekanan yang saya hadapi, bertepatan dengan maksud peribahasa sambil menyelam minum air.
Saya juga menjadikan ibadat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan tekanan yang dihadapi. Setiap hari saya akan mendirikan sembahyang, sekurang-kurangnya lima kali sehari kerana sembahyang merupakan tiang agama. Apabila saya tidak mendirikan solat, hal ini bermakna runtuhlah agama saya. Sesungguhnya, sembahyang memberikan ketenangan yang tidak dapat saya ungkapkan dengan kata-kata. Sembahyang yang khusyuk akan menjadikan saya melupakan semua tekanan yang saya hadapi, malah saya dapat merasakan betapa dekatnya diri saya dengan Yang Maha Pencipta. Jiwa berasa tenang dan damai, hati juga menjadi bersih. Benarlah seperti yang pernah dikatakan oleh seorang penceramah gaya hidup sihat, Encik Norhisham Mustaffa bahawa sembahyang merupakan senaman yang paling ampuh untuk memberikan kesihatan terbaik buat tubuh badan kita . Ketika rukuk dan sujud, darah akan mengalir dengan lebih sempurna di tubuh kita. Demikian juga ketika saya duduk di antara dua sujud dan duduk tahyat awal serta akhir, kedudukan tubuh dan jari-jari kaki memberikan bentuk senaman yang begitu berkesan. Selepas mendirikan solat, saya akan berzikir yang mampu membersihkan dan memberikan kedamaian kepada hati serta jiwa. Saya sangat menyedari dan menginsafi bahawa hanya Allah yang dapat membantu saya dalam segala hal. Lantaran itu, saya menjadikan ibadat sebagai usaha yang terbaik untuk menghindari dan mengurangkan tekanan yang dihadapi.
Melancong merupakan aktiviti kekeluargaan yang amat saya nanti-nantikan. Setiap tahun ayah dan ibu akan membawa saya serta adik melancong ke luar negara. Sehingga kini kami telah melawat Indonesia, China, Kemboja dan India selain melancong di dalam negara. Sejujurnya, setiap kali melancong saya dapat merasakan keterujaan dan kegembiraan yang membolehkan saya melupakan segala masalah yang membelenggu fikiran. Secara tidak langsung, tekanan yang mengganggu fikiran yang berpunca daripada masalah yang dihadapi dapat saya atasi atau setidak-tidaknnya dapat saya lupakan sebentar. Ketika melancong itu, saya dapat menikmati keindahan dan keunikan panorama negara lain di samping menambahkan pengetahuan tentang budaya dan sejarah negara tersebut, bertepatan dengan maksud peribahasa jauh berjalan luas pandangan. Ketika melawat Solo dan Jogjakarta di Pulau Jawa, Indonesia umpamanya, saya dapat menyaksikan keunikan budaya mereka walaupun kita masih dalam rumpun yang sama, iaitu Melayu. Seni tari mereka sangat halus dan mempesona berdasarkan gerak jari tangan, kaki dan tubuh mereka dengan iringan muzik gamelan yang syahdu. Adat di keraton pula masih dikekalkan untuk tatapan pelancong walaupun sistem pemerintahan beraja tidak lagi diamalkan di republik tersebut. Keunikan Candi Borobudur amat mengagumkan dengan seni binanya yang amat halus. Keseluruhan aktiviti ketika melancong itu termasuk sesi membeli-belah cukup membantu saya melupakan segala tekanan yang dihadapi.
Sebagai kesimpulan, terdapat pelbagai usaha yang saya lakukan untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan. Walau apa-apa pun yang berlaku, mahu atau tidak, saya terpaksa menghadapi segala tekanan yang ada demi kelangsungan hidup yang lebih bermakna. Tekanan merupakan masalah dan tekanan juga merupakan sumber motivasi, justeru tanpa tekanan, hidup kurang berseri umpama pokok yang tidak berbunga. Dengan tekanan jugalah fikiran saya menjadi lebih matang dan dewasa. Di sebalik ketabahan saya menghadapi tekanan itu, saya masih memerlukan insan lain untuk menghadapinya dengan lebih rasional. Dalam hal ini, kedua-dua ibu bapa akan menjadi sumber rujukan saya di samping rakan-rakan sebaya yang rapat hubungannya dengan saya. Saya juga tidak melupakan guru yang mendidik dan mengajar saya menjadi insan berilmu. Sesungguhnya, hanya dengan ketabahan dan keimanan yang kukuh dapat membantu saya menghadapi semua tekanan dengan tenang.
No comments:
Post a Comment